Akta 342 tidak sama dengan pewartaan Proklamasi Darurat  - Utusan Malaysia

Akta 342 tidak sama dengan pewartaan Proklamasi Darurat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan, warta pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan di bawah Akta 342 tidak sama dengan pewartaan Proklamasi Darurat.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Menurutnya, perintah itu mahupun Proklamasi Darurat diwartakan dan menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Oleh itu, semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran tersendiri dan tidak tepat mengenai Perintah ini bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya hari ini.

KKM berkata, perintah itu dibuat di bawah Subseksyen 11(1) Akta 342 yang memberi kuasa kepada menteri kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Jelas KKM lagi, perintah itu bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020, dan telah dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos ini sehingga ke 31 Disember ini.

“Sebelum ini, kuat kuasa perintah ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021. Perintah ini telah menetapkan bahawa semua Negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Dengan berkuat kuasanya perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” katanya.

Katanya, perintah itu juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan, antaranya, Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Manakala, Proklamasi Darurat pula dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.