KUALA LUMPUR: Industri seni tanah air kini semakin tenat sehinggakan bukan sahaja artis, bahkan ramai kalangan kru dan pekerja produksi turut terjejas akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengambil inisiatif untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jihad Anak Seni dan Pasukan Kam2u sejak 14 Jun lalu tampil dengan hasrat meringankan beban penggiat-penggiat seni dan belakang tabir yang terjejas.
Menurut penggerak yang juga seorang pengurus produksi, Kamisah Abd. Manap atau Kam, usaha itu dilakukan setelah dia banyak menerima keluhan dan aduan daripada rakan-rakan kru dan pekerja belakang tabir yang semakin terdesak dengan tekanan hidup.
“Selain artis, golongan ini adalah yang paling ramai terjejas kerana rata-ratanya bekerja secara sambilan dalam industri ini. Sedih dan ada yang terpaksa buang rasa malu untuk mesej dan minta tolong dengan kami.
“Ada kru yang dihalau keluar rumah kerana tak dapat bayar sewa dan terpaksa bawa anak isteri menumpang tidur di rumah kedai atas ihsan orang. Ada yang tak dapat nak beli makanan dek tiada lagi duit dalam simpanan.
“Pendek kata, ramai yang susah dan terdesak pada waktu ini apabila industri seni tidak dibenarkan beroperasi dan suara-suara ini jarang dapat didengari,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagaimanapun, menurut Kam, pihaknya enggan berpeluk tubuh dan segera melaksanakan misi bantuan tersebut yang dananya adalah hasil kutipan rakan-rakan industri terutama artis dan selebriti.
“Alhamdulillah, saya dapat sokongan daripada kawan-kawan yang nak membantu. Saya sendiri ambil inisiatif dengan menghantar mesej dan bertanyakan kepada mana-mana artis dan selebriti berkemampuan jika mereka ingin sama-sama menyertai misi ini,” katanya.
“Walaupun mungkin pada waktu ini tidak ramai yang terlibat, tapi kami bersyukur kerana ia mencukupi. Antara yang terus memberikan kerjasama ialah Nabila Razali, Fizo Omar, Fasha Sandha, Betty Benaffe, Nadia Nisa dan ramai lagi.
“Kami juga berterima kasih kerana mendapat kerjasama daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang turut menyediakan sumbangan berupa barangan keperluan asas,” katanya.
Jelas Kam, setakat ini pihaknya telah menjalankan lima fasa pengagihan bantuan kepada seramai 400 kru yang terjejas. – UTUSAN










