Kebaya sering dilihat sebagai busana tradisional yang cukup sinonim dengan hari raya, majlis rasmi dan acara kebudayaan. Potongannya yang anggun, dipadankan dengan kain batik atau songket, menyerlahkan sisi elegan si pemakai.
Namun, kebaya sebenarnya lebih daripada sekadar pakaian cantik untuk digayakan pada hari istimewa. Di sebalik setiap helaian, tersimpan sejarah panjang yang merentasi sempadan geografi dan zaman.
Di Malaysia, kebaya berkembang hasil pertemuan pelbagai budaya iaitu Melayu, Peranakan, Jawa, Riau dan pengaruh serantau lain. Evolusinya bukan berlaku secara kebetulan, tetapi dibentuk oleh perjalanan perdagangan, migrasi dan perubahan sosial masyarakat.
Setiap negeri dan komuniti akhirnya membentuk identiti kebaya tersendiri. Justeru, kebaya bukan sekadar busana, tetapi cerminan latar budaya, nilai setempat dan jati diri wanita.
Lebih daripada simbol estetika, kebaya turut melambangkan peranan wanita dalam masyarakat tentang kesopanan, ketelitian dan kekuatan peribadi. Namun, dalam arus moden hari ini, kebaya sering dianggap sekadar fesyen atau pakaian nostalgia tanpa benar-benar memahami makna di sebaliknya.
Kesedaran inilah yang mendorong lahirnya pelbagai usaha untuk mendokumentasi, mempelajari dan menghayati kebaya sebagai warisan budaya.
Hayati nilai kebaya
Menurut pengasas Diari Kebaya di bawah anjuran Pentas Eukarya Studio, Qistina Iwani Idris, inisiatif itu diwujudkan sebagai ruang untuk wanita Malaysia mendalami kebaya bukan hanya dari sudut fesyen, tetapi sejarah dan nilainya.
Minatnya terhadap kebaya bermula sejak 2017. Sejak itu, dia menjalankan kajian sendiri tentang jenis-jenis kebaya, makna motif batik serta bagaimana kebaya mencerminkan inspirasi, martabat dan kepimpinan wanita.
“Diari Kebaya diwujudkan supaya wanita dapat memahami kebaya dari segi sejarah, tekstil, motif dan cara pemakaiannya. Kita bukan sekadar pakai kebaya, tetapi faham apa yang kita gayakan,” katanya.
Inspirasi itu tercetus daripada pertemuan dengan seorang nenek dari Bekasi, Indonesia, Tatyana Soebianto, yang pernah mempersoalkan mengapa Malaysia tidak lebih lantang mempromosikan kebaya, sedangkan negara ini turut diiktiraf dalam sejarah oleh UNESCO.
Pertanyaan itu menjadi titik tolak untuk beliau memulakan sesuatu walaupun langkah awalnya kecil dan tidak sempurna.
Bagi Qistina, setiap jenis kebaya mempunyai cerita dan identiti tersendiri. Dengan mengenalinya, wanita bukan sahaja dapat menghargai warisan budaya, malah memahami makna yang tersirat di sebalik setiap potongan dan motif.
Melalui program seperti ini, ilmu kebaya didokumentasikan agar boleh dijadikan rujukan generasi akan datang. Peserta bukan sekadar diajar cara memakai kebaya dengan betul, tetapi turut didedahkan kepada simbolisme dan sejarah yang terkandung dalam setiap helaian kain.
Kebaya jadi warisan, identiti
Memahami kebaya secara mendalam adalah satu cara untuk menghidupkan warisan budaya.
Menurut Qistina, setiap motif, jahitan dan potongan membawa makna tersendiri, daripada simbol kesuburan dan kemakmuran, hinggalah doa untuk panjang umur dan ketahanan masyarakat.
“Setiap helaian kain dan potongan unik membawa naratif generasi terdahulu,” ujarnya.
Melalui acara seperti Kenduri Kebaya, peserta diperkenalkan dengan pelbagai jenis kebaya yang wujud di Malaysia dan serantau. Antaranya Kebaya Nyonya, Kebaya Kedah, Kebaya Labuh, Kebaya Riau, Kebaya Sulam, Kebaya Encim, Kebaya Moden, Kebaya Kutu Baru dan Kebaya Sunda.
Pendekatan ini diharap dapat melahirkan generasi wanita yang bukan sahaja gemar menggayakan kebaya, tetapi benar-benar menghargai dan memahami sejarahnya.
Hakikatnya, kebaya bukan sekadar busana. Ia adalah simbol identiti, nilai dan aspirasi wanita. Selagi ia difahami dan dihargai, kebaya akan terus hidup sebagai warisan berilmu, bukan hanya untuk dipakai, tetapi untuk diwariskan.










