PUTRAJAYA: Bilangan premis diarahkan tutup oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard turun berbanding 180 pada kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan sejumlah 65 premis yang meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negara.
“Pasukan itu melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,309 kilang selain 14,237 premis perniagaan, 833 tapak pembinaan dan 322 asrama pekerja,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, keseluruhannya mereka melakukan 84,976 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 19,133 anggota dari pelbagai agensi.
Katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan.
Kerajaan katanya, tidak akan berkompromi dalam apa jua situasi kerana yang menjadi keutamaan ketika ini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
Beliau memberi amaran, jika ada premis masih berdegil dan melanggar arahan pihak berwajib, tindakan keras termasuk tutup serta-merta akan dikenakan ke atas pemiliknya.










