KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan semula kempen ikoniknya menerusi Kempen Pandu Impianmu 2.0 dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM875,000 bagi menggalakkan budaya melabur dalam kalangan rakyat Malaysia.
Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk sebuah BMW 320i M Sport sebagai hadiah utama, selain sebuah Proton e.MAS 7 dan enam buah Perodua Bezza.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed berkata, pihaknya berharap inisiatif itu akan terus menjadi aspirasi kepada lebih ramai rakyat negara ini untuk mula melabur, sekali gus menyemai amalan kewangan berdisiplin sepanjang hayat.
“Di ASNB, kami percaya pelaburan adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang dan jumlah pelaburan. Matlamat kami adalah mendidik dan menyediakan peluang kepada semua untuk membina tabungan dan kehidupan lebih sejahtera.
“Sambutan menggalakkan terhadap kempen-kempen sebelum ini membuktikan sebilangan besar rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk melabur, namun mereka memerlukan faktor tarikan untuk memulakan dan meneruskannya secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Hadiah bagi pemenang kempen Labur & Level-Up! (LLU) dan Pandu Impianmu, Gen Labur! (PIGL) serta Pelancaran Pandu Impianmu 2.0 di sini, semalam.
Kempen yang telah bermula pada 1 April itu terbuka kepada semua pelabur ASNB dengan pelaburan minimum RM500 dalam mana-mana unit ASNB bagi melayakkan mereka menerima satu tiket cabutan.
Menariknya, setiap pelaburan melalui platform digital seperti myASNB dan RIA akan menerima tiket berganda, manakala syarat kemenangan memerlukan pelabur mengekalkan simpanan bersih minimum RM500 dalam tempoh kempen.
Dalam pada itu, nilai hadiah yang ditawarkan menerusi Kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! adalah sebanyak RM687,000.
Untuk Kempen Labur & Level-Up pula, hadiah sebanyak RM1.18 juta ditawarkan. Nilai hadiah keseluruhan kempen-kempen ASNB ini bernilai RM2.74 juta.
Sementara itu, pemenang hadiah utama Pandu Impianmu, Gen Labur!, Fatin Hazirah Mohd Mustapa berkata, amalan melabur itu bermula selepas diperkenalkan oleh ibu bapa sebelum beliau meneruskannya sendiri secara konsisten sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan.
“Ibu dan ayah yang mula-mula perkenalkan. Selepas saya mula bekerja, saya teruskan dengan memasukkan duit sendiri ke dalam akaun ASB secara bulanan.
“Saya memperuntukkan sekitar RM500 daripada gaji setiap bulan, malah jika ada wang lebihan, saya akan masukkan lebih daripada jumlah itu untuk tujuan simpanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan generasi muda supaya mula memperuntukkan sebahagian wang pendapatan demi jaminan masa hadapan selain berjimat-cermat dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
“Lebih baik kita menyimpan daripada berbelanja secara berlebihan. Mulakan pelaburan awal dan pastikan pilih platform yang sah serta diiktiraf agar tidak menjadi mangsa penipuan, sekali gus menjamin simpanan untuk hari tua kelak,” katanya. –UTUSAN











