220 kes ugutan bahan lucah di Selangor - Utusan Malaysia

220 kes ugutan bahan lucah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor menerima sebanyak 220 kes ugutan dan pemerasan menyebarkan gambar atau video lucah mangsa di media sosial dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Selain kenalan terdekat, kebanyakan kes itu melibatkan individu tidak dikenali dan sindiket yang memperdayakan mangsa berusia 20 hingga 60-an supaya membuat aksi lucah.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira usia kerugian ribuan ringgit akibat berkongsi gambar bogel kepada individu yang baru dikenali hanya melalui media sosial.

Jelas beliau, sepanjang tempoh Januari hingga 30 Jun lalu, sebanyak 137 kes yang dilaporkan melibatkan individu tidak dikenali menghantar video bukan milik mangsa untuk mengganggu.

“Selain itu, kita menerima 54 kes sindiket yang mencari kenalan di media sosial sehingga memperdaya mangsa membuat aksi lucah ketika sedang ‘live’ (siaran langsung) tanpa mengetahui aksi mereka dirakam.

“Sebanyak 29 kes pula melibatkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami atau bekas teman lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Arjunaidi, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi yang memudahkan mangsa untuk berkomunikasi.

“Mangsa akan diperdaya sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan yang diberikan.

“Sindiket  merekodkan video dan gambar lucah mangsa supaya boleh memeras ugut untuk menyebarkannya jika tidak memenuhi permintaan mereka,” katanya.

Ujar beliau, aplikasi yang sering kali  digunakan antaranya Wechat, Facebook (FB), Michat, WhatsApp, Twitter dan Telegram.

Menurut Arjunaidi, sindiket itu meminta mangsa sejumlah wang sehingga mendatangkan ketakutan dan sanggup memberikan wang.

“Jumlah kerugian dialami mangsa antara RM3000 hingga RM50,000 dengan menggunakan akaun pelbagai bank tempatan.

“Ada sindiket yang turut menggunakan  akaun luar negara bagi mengelak maklumat mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya