PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan 207 kematian Covid-19 sekali gus menjadi rekod tertinggi sejak pandemik melanda negara dengan 21 daripada 33 kluster baharu melibatkan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal menjadi penyumbang terbanyak iaitu 57 kes, 52 kes di Kuala Lumpur, 24 kes di Johor, 19 kes di Kedah, 18 kes di Melaka dan 14 kes di Negeri Sembilan.
“Baki negeri merekodkan satu angka iaitu tujuh kes di Pahang, enam kes di Sabah, lima kes di Perak, tiga kes di Pulau Pinang dan dua kes di Terengganu.
“Kematian melibatkan 126 lelaki dan 81 wanita dengan 160 daripada keseluruhan kes mempunyai latar belakang penyakit manakala 23 kes melibatkan warga asing dan 14 pesakit meninggal dunia di kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia merekod penurunan kes positif Covid-19 sebanyak 14,516 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 9,372 kes dengan 1,009 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 524 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 165,840 kes aktif.
“Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 6,508 kes diikuti Johor (1,449), Kuala Lumpur (1,425), Kedah (1,160), Sabah (720), Perak (590), Negeri Sembilan (452), Pulau Pinang (402), Pahang (386), Melaka (373), Sarawak (356), Kelantan (346), Terengganu (245)
“Hanya Putrajaya merekodkan kes dua digit iaitu 94 kes manakala Labuan, lapan kes dan Perlis, dua kes,” katanya.
Mengulas mengenai 33 kluster baharu, beliau berkata, selain 21 kluster tempat kerja, komuniti mencatatkan 10 kluster manakala pendidikan swasta dan pendidikan lain, masing-masing satu kluster. – UTUSAN ONLINE










