14 remaja, dua wanita dituduh bergaduh di mahkamah hari ini

14 remaja, dua wanita dituduh bergaduh di mahkamah hari ini

SERAMAI 14 orang pelajar dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini bagi berdepan pendakwaan pertuduhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan membuat kekecohan di tempat awam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 14 orang remaja lelaki dan dua wanita dewasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh di hadapan sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sesama sendiri dan membuat kekecohan di tempat awam.

Beliau berkata, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Seorang suspek akan menghadapi pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi suspek.

“Manakala seorang lagi suspek berbeza juga akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi suspek.

“Mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari, pada Jumaat lalu, polis menerima maklumat dari orang awam berkaitan pergaduhan pelajar di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya.

Pada hari yang sama, polis melakukan tangkapan terhadap 14 kanak-kanak lelaki dan dua perempuan dewasa berusia lingkungan 12 hingga 37 tahun di kawasan Taman Nusa Bestari dan Iskandar Puteri.

Hasil soal siasat yang dijalankan kesemua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu yang berpunca akibat tidak puas hati apabila salah seorang daripada suspek ditampar hingga membawa pergaduhan selepas waktu persekolahan.

Menurut Ab Rahaman, pihaknya ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk pergaduhan atau salah laku jenayah dalam kalangan pelajar sekolah adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN