JAKARTA: Menteri Ekonomi Indonesia berkata pada Isnin bahawa negara Asia Tenggara itu mampu bertahan daripada kesan kenaikan harga minyak akibat perang di Asia Barat selama sehingga 10 bulan tanpa perlu mengurangkan subsidi bahan api
Menteri itu, Airlangga Hartarto memberitahu media asing di Jakarta bahawa kerajaan bersedia untuk lima, enam atau bahkan 10 bulan berdasarkan unjuran semasa.
“Diesel serta bahan api, akan disubsidi sehingga akhir tahun dan kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk itu,” katanya.
Harga minyak mentah global telah melonjak kepada lebih AS$100 (RM395) setong sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan siri serangan ke atas Iran pada 28 Februari, mencetuskan konflik serantau dan menyebabkan Selat Hormuz yang penting hampir ditutup.
Indonesia merupakan pengeluar minyak, tetapi masih pengimport bersih dan banyak memberi subsidi bahan api yang digunakan di dalam negara.
Subsidi tersebut menampung sekitar 30 hingga 40 peratus kos kepada pengguna dan menyerap lebih daripada 5 peratus bajet tahunan kira-kira AS$12 bilion (RM47 bilion) dalam ekonomi terbesar dan paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu.
Pengiraan subsidi bahan api Indonesia bagi 2026 dibuat berdasarkan andaian harga minyak global AS$70 (RM277) setong, dan kerajaan secara undang-undang perlu mengekalkan defisit fiskal tidak melebihi 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Airlangga berkata, setiap kenaikan AS$1 (RM3.95) dalam harga minyak dunia menambah beban kira-kira sekitar AS$400 juta (RM1.5 bilion) kepada bajet negara.
Negara itu mengimport antara seperlima hingga satu perempat minyaknya dari Asia Barat, namun kini sedang mencari sumber alternatif di Afrika, AS dan Venezuela, katanya, walaupun perinciannya masih dimuktamadkan.
“Sebahagian minyak dari Asia Barat boleh digantikan dengan pelbagai sumber ini.
“Banyak perancangan kerajaan bergantung kepada berapa lama perang akan berlanjutan,” kata Airlangga, sambil menuduh Presiden AS, Donald Trump mempermainkan keadaan dengan dasar perang dan damai seperti permainan yo-yo.
Bulan lalu, kerajaan mengumumkan rancangan catuan bahan api dan mewajibkan dasar kerja dari rumah satu hari seminggu bagi penjawat awam untuk menjimatkan tenaga.
Presiden Prabowo Subianto berada di Moscow pada Isnin untuk rundingan minyak dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, namun Airlangga tidak memberikan butiran lanjut.
Prabowo menyasarkan untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi Indonesia daripada 5.1 peratus tahun lalu kepada 8 peratus menjelang 2029, disokong oleh perbelanjaan awam yang tinggi. – AFP










