IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kerajaan dan rakyat perlu bersatu untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda susulan perang di Asia Barat.
Titah baginda, ekonomi global kini berdepan ancaman besar akibat krisis tenaga susulan perang tersebut yang berpotensi mencetuskan krisis tenaga terburuk yang pernah dunia alami.
Baginda bertitah, tiada suatu pun negara di dunia dapat terlepas daripada tempiasnya dan dengan ekonomi yang terbuka, Malaysia juga terpaksa berdepan risiko pendedahan, menghadapi bukan sahaja kejutan harga minyak global, bahkan jaminan bekalan.
Titah baginda, ia dijangka memberi kesan rantaian kepada kos pengeluaran serta harga barangan dan perkhidmatan, kuasa beli rakyat dan inflasi malah berkemungkinan beralih kepada tekanan fiskal, kerentanan perdagangan, juga sentimen pelabur, di samping risiko geopolitik yang kompleks.
“Dalam menghadapi cabaran yang besar ini, di samping usaha-usaha yang dirintis oleh kerajaan, rakyat turut mempunyai tanggungjawab menghayati semangat berat sama dipikul, gunung sama didaki.
“Rakyat perlu berganding bahu membantu negara melalui detik yang sukar lagi mencabar dengan mengamalkan sifat berhemah dan berjimat cermat, membantu mengurangkan penggunaan bahan api seterusnya mengurangkan subsidi kerajaan.
“Rakyat hendaklah bijak mengamalkan gaya hidup berjimat tenaga melalui penggunaan elektrik yang terkawal, di samping mengamalkan budaya penjimatan dan mengelakkan pembaziran terutamanya bahan makanan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran bukan sekadar percaturan politik dan ketenteraan bahkan membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau, ekonomi dunia dan emosi umat manusia.
Titah baginda, negara perlu melakukan persiapan secara zahir dan batin untuk menghadapi kemungkinan krisis global yang berpanjangan.
“Negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan. Dalam usaha menangani krisis yang besar lagi kritikal ini, kerajaan dan rakyat perlu bersatu,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuhkan, keselamatan makanan dipastikan, kestabilan kewangan dijaga dan perpaduan rakyat dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan sensasi.
Baginda bertitah, dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menganut pelbagai agama, keharmonian ialah aset paling berharga yang wajib dipertahankan.
“Rakyat perlu difahamkan mengenai punca dan magnitud krisis yang sedang berlaku, serta kesan dan implikasi terhadap kehidupan harian mereka melalui pelan komunikasi berkesan, disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat biasa,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, ketika ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit.
Titah baginda, anggota Dewan Negeri baik dipihak kerajaan begitu juga di barisan pembangkang, pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin masyarakat, begitu juga pihak swasta dan kerajaan hendaklah mencari titik pertemuan dan persamaan.
Baginda bertitah, mereka perlu menunjukkan semangat bersatu dan saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda.
“Menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara, membuktikan kesungguhan mengutamakan nasib rakyat, ke hilir sama menghilir, ke hulu sama menghulu; merangka formula berkesan untuk menangani keadaan yang sangat membimbangkan ini, demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda. – UTUSAN










