Saya abang sulung, cari duit untuk jaga adik-adik - Amir Ahnaf - Utusan Malaysia

Saya abang sulung, cari duit untuk jaga adik-adik – Amir Ahnaf

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya cuma mahu cari duit untuk jaga adik-adik,”

KATA pelakon, Amir Ahnaf yang bersyukur apabila tidak putus-putus tawaran berlakon diterimanya sejak melangkah ke industri seni negara empat tahun lalu.

Menurut abang sulung kepada sembilan orang beradik, sehingga kini dia tidak pernah menyangka bahawa lakonan akan menjadi punca rezeki untuknya membantu ekonomi keluarga dan menjaga adik-beradik yang sedang membesar.

Namun menurut Amir yang mula mencipta nama dengan karakter Kahar dalam Project: High Council, dia percaya kepada kuasa ‘manifestasi’ iaitu menyatakan impian dan cita-citanya kepada diri sendiri, keluarga dan orang-orang yang dipercaya.

“Saya baru selesai jalani penggambaran yang diarahkan oleh Isma Yusoof. Dulu saya pernah ‘shoot’ dengan beliau pada 2021 selepas habis Project: High Council. Dia ada cakap bangga melihat proses saya menjadi pelakon.

“Saya ingat lagi kata-kata dia, rezeki boleh datang dalam banyak sumber, sama ada doa orang awam, ibu bapa termasuklah doa daripada adik-beradik. Jadi saya percaya doa daripada adik-beradik saya dan harapan mereka yang membuatkan saya berada dekat sini.

“Dengan rezeki yang ada, saya kongsikan dengan mereka semua,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Tarung: The Unforgiven, di sini, baru-baru ini.

Enggan mendedahkan secara terperinci pengorbanan dan sumbangan yang telah diberikannya kepada keluarga, Amir bagaimanapun sekadar berkongsi wang yang dimiliki hasil usaha keras dapat sedikit sebanyak membantu persekolahan adik dan juga persiapan menyambut hari raya, baru-baru ini.

“Saya seorang yang sudah bekerja yang lain masih belajar, paling kecil darjah empat. Ibu ayah masih bekerja, cuma saya bantu sedikit sebanyak bayarkan yuran sekolah. Baju raya, saya beli.

“Boleh dikatakan saya tanggung semua, kira kongsi-kongsi dengan mak ayah,” katanya.

Walaupun masih baharu bergelar anak seni, Amir mengakui laluannya tidak mudah apalagi selalu menjadi pusat perhatian khalayak umum. Namun semua itu ditelan kerana ada lapan orang adik  di rumah untuk dibahagiakan.

“Sampai sekarang adik-beradik saya semua terkejut yang abang mereka akan sampai ke tahap ini dan bersyukur saya tak lupa mereka. Kalau nak diikutkan, saya sekolah menengah masuk asrama kemudian terus ke universiti. Jadi jarak antara kami semua sangat besar.

“Disebabkan rezeki menjadi pelakon yang saya ada sekarang, barulah saya ada peluang untuk luangkan masa dan eratkan hubungan dengan mereka,” katanya lagi.

Perjalanan Amir bagaimanapun sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada adiknya, Aleef Ahnaf untuk mengikuti jejaknya sebagai pelakon. Bukan bermaksud mematahkan impian, namun Amir berterus terang bahawa sepak terajang industri hiburan ini begitu kuat, tidak semua mampu  menghadapinya.

“Saya beri tamparan realiti kepadanya, jadi pelakon tidak mudah apalagi muka dia sama dengan saya. Jadi saya beri cadangan untuk biar dia cuba bidang nyanyian sebab dia berbakat.

“Dalam lima tahun ini saya tengah cuba bina syarikat produksi muzik  sendiri, manalah tahu boleh hasilkan muzik untuk adik. Tapi jika dia mahu pergi ujibakat lakonan saya tak pernah halang, jika dia mahu jadi model juga silakan,” katanya.

Yusof dalam Tarung: The Unforgiven

Bercakap mengenai projek terbaharunya, filem Tarung: Unforgiven, Amir mendedahkan bahawa pembabitannya dalam filem tersebut bermula sejak peringkat awal lagi. Bukan sekadar pelakon, dia sebenarnya menjadi salah seorang daripada penyumpang idea dalam filem ini yang dirancang sejak habis penggambaran filem Kahar: Kapla High Council pada 2024.

“Saya ada dalam ‘writers room sejak hari pertama lagi bersama tulang belakang filem ini Razaisyam Rashid, Fatimah Razak, Aedy Ashraf, dan Sky.

“Kami mahukan naskhah yang menggabungkan elemen silat, action fighting, dan juga pengalaman street fight untuk menjadikan naskhah ini lebih padat,” jelasnya.

Amir juga memuji keterbukaan barisan pelakon yang terlibat, terutamanya apabila filem itu menggabungkan tiga generasi berbeza iaitu generasi legends, senior, millennial, dan juga Gen Z. Baginya, ketiadaan ego di set penggambaran memudahkan segala urusan.

“Apabila semua pelakon meletakkan ego di luar dan tahu objektif masing-masing, kerja menjadi sangat senang. Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan mereka dalam set Tarung ini,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Aedy Ashraf, Sharifah Sakinah dan Amir Ahnaf dan dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN