105,000 pekerja sektor peruncitan terima vaksin sebelum 31 Ogos - Utusan Malaysia

105,000 pekerja sektor peruncitan terima vaksin sebelum 31 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 105,000 pekerja daripada sektor peruncitan dijangka menerima vaksinasi sepenuhnya sebelum 31 Ogos ini menerusi pembukaan empat lagi pusat Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) baharu di sekitar Lembah Klang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, empat lokasi RiVAC itu adalah di IOI City Tower Putrajaya; Performing Art Center Bandar Utama, Petaling Jaya; Centro Mall, Klang dan AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut KPDNHEP, lokasi di Putrajaya dan Klang beroperasi pada 26 Julai ini manakala Bandar Utama (27 Julai) dan AEON Mall Nilai akan dimaklumkan kemudian.

“Kesemua RiVAC ini mampu menerima kapasiti maksimum 21,000 orang,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar.

KPDNHEP berkata, pusat RiVAC pertama yang terletak di Mid Valley Exhibition Center, Kuala Lumpur boleh menampung 31,500 orang.

Justeru katanya, penambahan pusat pemberian vaksin industri melalui RiVAC akan mempercepatkan pencapaian objektif ‘Operasi Lonjakan Kapasiti’ diumumkan semalam yang menyasarkan 100 peratus penduduk Lembah Klang menerima vaksinasi sekurang-kurangnya dos pertama menjelang 1 Ogos ini.

Katanya, vaksinasi merupakan penyelesaian dan pemangkin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin.

“Kementerian menyeru agar semua syarikat sektor peruncitan termasuk pasar raya, kedai runcit, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai gunting rambut dan lain-lain sektor peruncitan untuk menyertai RiVAC dan mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi untuk pekerja mereka dengan segera,” jelasnya.

RiVAC dilaksanakan secara kerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) beserta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan pemain industri peruncitan dan pengedaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya