Video ajak berkumpul: Polis ambil tindakan tegas - Utusan Malaysia

Video ajak berkumpul: Polis ambil tindakan tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan tular video mengajak orang ramai berkumpul di beberapa lokasi, Rabu ini.

Ini susulan video berdurasi dua minit 40 saat yang disebarkan melalui media sosial dengan mengajak  orang ramai untuk berkumpul di beberapa lokasi pada pukul 12 tengah hari.

 Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, polis mengingatkan masyarakat bahawa SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pergerakan dan penganjuran aktiviti sosial masih berkuat kuasa.

“Justeru, tindakan tegas diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ke atas mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP MKN dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Dinasihatkan supaya tidak menyebarkan apa juga bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP MKN, yang mana boleh mengakibatkan penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata, polis juga meminta orang ramai terus mematuhi SOP dan bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk melandaikan keluk penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, satu video ‘anonymous’ yang mengajak orang ramai menyertai operasi Black Democracy kononnya untuk menjatuhkan kerajaan. 

Video itu turut menyeru rakyat memakai baju hitam dan berkumpul dalam kenderaan di beberapa lokasi antaranya Istana Negara, Dataran Merdeka, Masjid Putrajaya, masjid negeri dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) negeri. 

Ia turut meminta orang ramai mengambil swafoto dengan #kerajaangagal sehinggalah kerajaan mengaku kalah pada pukul 6 petang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya