KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) sudah memanggil seorang pengasas produk bagi membantu siasatan berhubung penganjuran majlis sambutan hari jadi bertemakan bunian dan hantu yang tular baru-baru ini.
Sumber Jaheik berkata, siasatan terhadap individu berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019.
Menurutnya, proses mengambil keterangan ke atas pengasas produk tersebut berlangsung lebih sejam di pejabat agensi berkenaan di sini hari ini.
“Dia hadir ke pejabat sambil ditemani oleh suami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, tindakan memanggil individu berkenaan membuktikan ketegasan Jaheik dalam menangani perkara-perkara yang dilihat bercanggah dengan ajaran Islam di negeri ini.
Katanya, pihak berkuasa agama tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau bertentangan dengan nilai serta syariat Islam.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai sebuah sambutan hari jadi yang menggunakan tema bunian dan alam mistik sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad
menegur trend segelintir masyarakat yang memilih tema bunian dan hantu dalam sambutan hari jadi sehingga tular di media sosial kerana dikhuatiri bercanggah dengan tuntutan Islam.
Katanya, setiap kelahiran anak merupakan kurniaan Allah yang perlu diraikan dengan cara yang menepati syariat, bukannya melalui perkara yang tidak disukai agama.
Ujarnya, amalan mensyukuri nikmat menuntut seseorang meletakkan sesuatu kurniaan pada tempat yang betul dan bersesuaian dengan kehendak Islam.
“Kita perlu kembali kepada asas bahawa manusia ini dijadikan oleh Allah. Anak yang lahir adalah kurniaan Allah yang perlu disyukuri.
“Kalau kita mahu mensyukuri nikmat mendapat anak, lakukanlah dengan cara yang tepat seperti tahlil, cukur jambul dan majlis yang berunsurkan Islam. Jangan pula kita mendapat kurniaan Allah tetapi melakukan perkara yang tidak disukai agama. Itu dipanggil kufur nikmat,” katanya.-UTUSAN










