PETALING JAYA: Pemilihan penyanyi Aisha Retno sebagai Puteri Gunung Ledang dalam pementasan teater muzikal itu disifatkan sebagai satu peluang yang bagus untuk mengasah bakat baharu bagi pelakon dan graduan pengarahan teater, Iman Suhana.
Iman atau Norsuhana Mohamad Wahid, 36, berkata, pemilihan Aisha sebagai peneraju wajar diberi ruang untuk dibuktikan kerana ia dibuat oleh pihak produksi berdasarkan pertimbangan profesional.
“Kenapa tidak? Berilah dia ruang dan peluang. Kita pun tidak tahu pengalaman dia sebelum ini dalam teater atau tidak.
“Biasanya keputusan itu dibuat oleh pengarah seperti Puan Sri Tiara yang lebih memahami keperluan produksi dan sudah tentu ada sebab Aisha dipilih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Iman, pengalaman bekerjasama dengan produksi besar sebelum ini membuatkan dia percaya setiap pemilihan dibuat berdasarkan potensi.
“Saya pernah bekerja dengan Puan Sri Tiara selama tiga tahun dalam produksi muzikal yang berjalan lama. Jadi saya yakin ada pertimbangan tertentu.
“Kita tidak boleh cepat kata seseorang itu tidak layak. Kita sendiri pun bukan hebat sangat untuk menilai orang lain. Apabila diberi peluang, seseorang pelakon boleh berkembang dengan baik jika dibimbing dengan betul,” katanya.
Iman Suhana memberi respon ketika diminta mengulas mengenai hantarannya sebelum ini yang menyentuh pandangan bahawa watak sampingan dalam drama atau filem turut mempunyai cabaran setara dengan watak utama, termasuk pemilihan Aisha Retno sebagai Puteri Gunung Ledang.
Untuk rekod, Iman memulakan kerjaya lakonan menerusi pentas teater dengan menjayakan pementasan pertamanya berjudul Panggilan pada 2014, sebelum membuat kemunculan dalam drama televisyen menerusi naskhah Monalisa. – UTUSAN










