UMNO perlu teliti semula kedudukan dalam PN - Utusan Malaysia

UMNO perlu teliti semula kedudukan dalam PN

MOHAMAD FADZIL ZOLKIPLI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO perlu meneliti semula kedudukan parti itu sebagai pendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal membuka semula Parlimen dalam masa terdekat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, ketika ini semua pihak tidak mahu lagi mendengar alasan demi alasan Parlimen tidak boleh dibuka.

Justeru, katanya, kerajaan didesak supaya merealisasikan segera pembukaan Parlimen dan tidak lagi memberi pelbagai alasan jengkel.

“Segera yang dimaksudkan adalah jangka masa terdekat dan bukannya Oktober seperti mana perancangan kerajaan sebelum ini.

“Muhyiddin perlu tampil menyatakan dengan jelas tarikh baharu persidangan Parlimen bagi meyakinkan rakyat betapa beliau tidak melawan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta jujur dalam mentadbir kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Fadzil menambah, penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen seperti yang diumumkan Muhyiddin semalam juga dilihat sebagai satu lagi siri alasan pihak kerajaan.

“Parlimen adalah prinsip asas kepada demokrasi yang tidak seharusnya ‘dimandulkan’ atas alasan darurat kesihatan.

“Apabila Parlimen tidak bersidang, suara rakyat menjadi bisu. Membisukan suara rakyat adalah lambang kerajaan lemah dan sejarah telah membuktikan apabila suara rakyat dibisukan, mereka akan bangkit dengan keras,” ujarnya.

Akhbar pada 17 Jun lalu melaporkan Yang Dipertuan Agong  menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka bertitah, keputusan itu bagi membolehkan Ordinan-Ordina Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya