KOTA TINGGI: Lelaki warga emas yang menembak mati tiga individu di sebuah kedai makan dekat Taman Kota Jaya, di sini dipercayai berbuat demikian kerana marah selepas mangsa enggan membayar hutang berjumlah RM50,000.
Salah seorang mangsa iaitu wanita asing berkenaan dipercayai meminjam wang daripada suspek untuk membuka perniagaan kedai makanan.
Namun, apabila suspek meminta wanita tersebut memulangkan kembali wang berkenaan, mangsa berkeras tidak mahu berbuat demikian sebelum meminta bantuan dua lelaki lain untuk membantunya sehingga menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka.
Suspek yang berang kemudian bertindak mengambil senapang patah di dalam kenderaannya sebelum menembak mati ketiga-tiga mangsa berusia antara 37 hingga 63 tahun.
Salah seorang saksi kejadian memberitahu, dia menyangkakan bunyi letupan kuat berkenaan adalah bunyi mercun atau pihak berkuasa sedang menembak gagak di kawasan berhampiran.
Menurut wanita yang enggan dikenali itu, kejadian tersebut berlaku pada waktu tengah hari ketika dia sedang bekerja menyiapkan tempahan makanan di kedai.
Susulan kes itu, lelaki berusia 71 tahun itu direman selama seminggu dan perintah reman terhadap pekebun tersebut dikeluarkan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiga mangsa yang maut ditembak dengan senapang patah dalam kejadian tersebut adalah dua lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara Vietnam antara 37 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan di kawasan sekitar 200 meter dari lokasi kejadian pada pukul 2 petang.
Turut dirampas senjata api jenis senapang patah yang digunakan suspek. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah. – UTUSAN










