PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menunggu laporan dan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.
“Hasil siasatan atau laporan belum lagi dikemukakan kepada pihak AGC,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.
Pada 29 Disember tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar memaklumkan masih menunggu laporan rakaman audio daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) yang disifatkan sebagai salah satu bukti penting dalam siasatan kes itu.
Rakaman audio berkenaan telah dihantar untuk dianalisis bagi mengesahkan ketulenan serta mengenal pasti suara yang didakwa berkait dengan kejadian berkenaan.
Selain analisis audio, polis turut mengambil sampel perbandingan suara daripada ahli keluarga pengadu serta pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkenaan bagi tujuan pengesahan.
Sebelum itu, AGC mengarahkan siasatan kes melibatkan tiga lelaki yang ditembak mati oleh PDRM di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira pukul 4.30 pagi.
Kejadian itu menyebabkan menyebabkan mangsa cedera parah pada lengan kirinya.
Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024.
Ia membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan RM1.35 juta. – UTUSAN










