SHAH ALAM: Baru tujuh hari selepas tahun baharu 2026 disambut, Selangor merekodkan dua kes maut akibat ditembak iaitu di Banting, Kuala Langat dan Bukit Sentosa, Klang.
Kes pertama melibatkan seorang lelaki yang maut selepas keluar membeli makanan dekat sebuah restoran makanan segera pada Ahad lalu.
Sementara kes terbaharu pula melibatkan seorang individu maut ditembak dekat sebuah kawasan di Taman Wangsa, Bukit Sentosa.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima makluman kejadian tembak di kawasan berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
“Pasukan polis yang hadir ke lokasi menjumpai mayat seorang warga tempatan berusia 43 tahun. Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai dua lelaki menunggang motosikal dan melepaskan dua das tembakan ketika tiba di lokasi dan melarikan diri.
“Seterusnya, mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Bagaimanapun, Mohd. Zaini menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi dilapor mengesahkan mangsa kes tembak di Banting mempunyai rekod jenayah.
Bagaimanapun, beliau masih mengesan identiti suspek yang terlibat dan menyiasat motif kejadian dari pelbagai sudut. – UTUSAN










