NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyimpan misi besar untuk mara ke pentas final pusingan terakhir Kejohanan Piala Dunia Trek 2026 sekali gus membuka peluang pertembungan dinanti-nantikan dengan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Aksi yang bakal berlangsung di Velodrom Nasional Nilai dari 24 hingga 26 April ini dilihat sebagai platform terbaik buat Azizulhasni mengukur tahap sebenar keupayaannya, apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Pelumba berpengalaman itu mengakui semakin teruja untuk berdepan Lavreysen selepas menyaksikan dominasi pelumba Belanda berkenaan yang meraih emas acara keirin di Hong Kong baru-baru ini.
“Bila saya tengok perlumbaan dia di Hong Kong, memang saya jadi lebih teruja, tapi dalam masa sama kena berhati-hati sebab Harrie pelumba yang sangat berpengalaman dan aktif berlumba di Eropah.
“Bila berdepan pelumba berkualiti macam dia, ia beri saya motivasi tambahan dan saya memang sudah lama tunggu peluang untuk berlumba dengannya di Malaysia.
“Ini kali pertama dia datang ke sini sebagai juara dunia, jadi saya harap dapat bertemu dia dalam keirin dahulu sebelum fikirkan tentang acara pecut,” katanya selepas sidang media pengumuman penaja di Nilai, semalam.
Namun, pelumba berusia 38 tahun itu sedar cabaran untuk menembusi final kali ini tidak mudah berbanding pusingan di Perth sebelum ini berikutan jumlah penyertaan yang lebih besar serta format pertandingan yang lebih mencabar.
“Persaingan kali ini memang sengit kerana formatnya berbeza dengan lebih banyak pelumba dan pusingan, jadi kita perlu berlumba lebih kerap.
“Dalam keirin, ada tambahan pusingan manakala dalam pecut pula, kalau kita menang semua peringkat, kita mungkin perlu berlumba sehingga sembilan kali sebelum ke final.
“Malah saya nampak Harrie sendiri pun mula penat di separuh akhir di Hong Kong, jadi cabaran utama adalah untuk kekalkan tenaga dan kekuatan hingga ke penghujung,” katanya. – UTUSAN










