STAM 2020 guna format baharu - Utusan Malaysia

STAM 2020 guna format baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan format baharu bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan digunakan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sebelum sebarang kajian mengenainya dilaksanakan sama ada diteruskan pada tahun berikut atau sebaliknya.

Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, langkah-langkah untuk menentukan format itu dibuat begitu teliti dengan membuat analisis dari semasa ke semasa untuk melihat sejauh mana kekuatan instrumen yang diguna pakai.

Menurut beliau, dalam menentukan taraf sijil bagi calon STAM pada setiap tahun, pihaknya mengadakan mesyuarat khas penentuan standard bersama Universiti Al-Azhar, Mesir berdasarkan persetujuan antara kedua-dua pihak.

Katanya, format baharu pada 2020 ini akan menjadi penanda aras baharu dan tidak dibandingkan dengan keputusan peperiksaan pada tahun sebelum ini.

“Bagaimanapun keputusan STAM 2020, mereka mempunyai peluang sama dengan calon-calon tahun sebelum ini kerana sudah tentu kalau ada perubahan, ada turun naik, atau perbezaannya, tetapi peluang melanjutkan pelajarannya tetap mengambil kira kemampuan calon dalam satu-satu mata pelajaran.

“Sebab setiap universiti ada meletakkan syarat bagi mata pelajaran dengan pencapaian tertentu dan mereka pun ada statistik untuk membolehkan calon itu masuk dan sesuai dengan kekosongan tempat yang ditawarkan. Sebenarnya ia tidak memberikan kesan besar kepada calon kohort 2020,” katanya dalam sidang akhbar khas keputusan STAM 2020 hari ini.

Keputusan STAM 2020 mencatatkan Nilai Gred Purata Nasional (GPN) 3.04 dengan 3,656 calon layak mendapat sijil manakala seramai 27 calon mendapat semua cemerlang (mumtaz) dalam semua 10 mata pelajaran daripada 5,574 calon yang menduduki peperiksaan itu.

Format peperiksaan STAM sebelum ini diguna pakai dalam tempoh tujuh tahun (2013-2019) selepas peperiksaan itu mula dilaksanakan di negara ini pada 2000.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata, perubahan format itu sudah tentu memberi kelebihan kepada calon atau ada yang agak menyukarkan mereka kerana setiap perubahan format pastinya ke arah lebih baik setelah melihat komponen dalam instrumen format itu menguji kemahiran calon.

Apatah lagi katanya, berikutan penangguhan peperiksaan STAM yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2020 ekoran pandemik Covid-19 di samping pelaksanaan pertama kali format baharu, sudah tentu nilai keputusan peperiksaan itu pada tahap lebih baik dari sudut pentaksiran.

Beliau memberitahu, calon STAM belajar sepenuhnya dalam bahasa Arab dengan sebanyak lima mata pelajaran ditetapkan dalam bidang bahasa itu sendiri sebagai persediaan mereka melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Jadi sudah tentu komponen kerja khusus, lisan dan berkaitan bahasa itu sendiri adalah dinilai. Apa yang kita buat ini (perubahan format) untuk kuatkan calon kita dari segi asas untuk mereka lebih cemerlang apabila masuk Universiti Al-Azhar.

“Universiti Al-Azhar memperuntukkan 500 hingga 700 kuota lulusan STAM dari Malaysia bagi setiap sesi pengajian,” katanya.

Beliau berkata, lulusan STAM juga berpeluang melanjutkan pengajian tinggi di universiti awam di negara ini dan lebih banyak pusat pengajian menawarkan tempat sekali gus peluang calon STAM terbuka luas untuk melanjutkan pelajaran.

Di samping itu kata beliau, lulusan STAM juga boleh berkhidmat dalam sektor awam bagi jawatan gred 27 yang mempunyai kelayakan masuk sama STPM yang diberikan kelulusan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sejak 2009.

“STAM ini ada kelebihan dan keistimewaan mereka dan kita juga mengharapkan mereka boleh mengimarahkan agama Islam di negara kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya