Israel terus perangi Hizbullah meski gencatan senjata dilanjutkan

Israel terus perangi Hizbullah meski gencatan senjata dilanjutkan

PASUKAN keselamatan memeriksa kemusnahan di lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan ibu pejabat sebuah NGO tempatan, di bandar pesisir selatan Tyre kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel menyasarkan serangan ke atas pusat Jawatankuasa Kesihatan Islam yang dikaitkan dengan Hizbullah di bandar selatan Hanuf, beberapa saat selepas pembaharuan gencatan senjata diumumkan kelmarin.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan tersebut menyebabkan enam orang terbunuh, termasuk tiga petugas paramedik.

Israel turut melancarkan serangan di bandar selatan Tyre selepas mengeluarkan arahan pemindahan, manakala Hizbullah memaklumkan pihaknya menyasarkan berek tentera Israel di bandar utara Kiryat Shmona menggunakan dron.

Kementerian Kesihatan berkata, serangan di kawasan Tyre turut mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang, termasuk enam petugas hospital, sembilan wanita dan empat kanak-kanak.

Seorang penduduk berhampiran lokasi serangan, Hafez Ramadan berkata, bangunan yang dibedil itu menempatkan rakyat yang melarikan diri daripada konflik, selain terletak bersebelahan hotel yang turut dihuni orang awam.

Israel dan Lubnan bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata serta memperluaskan rundingan bagi mencapai penyelesaian politik.

Utusan Israel serta kerajaan Lubnan mengadakan pertemuan dua hari di Washington, dan bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata yang dijadualkan berakhir pada Ahad.

Sehingga kini, ratusan orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel walaupun gencatan senjata diumumkan pada 17 April lalu.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Tommy Pigott berkata, tempoh penghentian permusuhan itu akan dilanjutkan selama 45 hari bagi membolehkan kemajuan lanjut dicapai.

Beliau berkata, Jabatan Negara AS akan mengadakan rundingan bagi mencapai perjanjian politik kekal pada 2 dan 3 Jun, manakala Pentagon menghimpunkan wakil tentera kedua-dua negara pada 29 Mei.

Delegasi Lubnan dalam satu kenyataan berkata, lanjutan gencatan senjata serta rundingan ketenteraan akan memberikan ‘ruang bernafas kepada rakyatnya’ dengan matlamat mencapai kestabilan yang berkekalan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN