Jurulatih akar umbi kena cukup ilmu

Jurulatih akar umbi kena cukup ilmu

Pembangunan bakat di peringkat akar umbi penting untuk membentuk kualiti pemain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelemahan dari aspek asas penguasaan bola dalam kalangan akar umbi bola sepak negara masih lagi dalam keadaan kritikal, sekali gus perlu dinilai semula secara serius.

Bagaimanapun, bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kritikan terhadap kemerosotan skil tidak seharusnya diletakkan di bahu pemain semata-mata.

Sebaliknya, kata Wan Jamak, kualiti jurulatih yang mengendalikan pemain di peringkat umur pembentukan perlu dipersoalkan kerana gagal membentuk asas permainan bola sepak.

“Bagi pemain usia lapan hingga 13 tahun, penekanan latihan wajib menjurus kepada 70 peratus pembentukan teknik asas, manakala 30 peratus barulah difokuskan kepada aspek taktikal.

“Kita kena pastikan jurulatih di peringkat akar umbi itu cukup ilmu untuk mengajar pemain muda kemahiran yang perlu ditingkatkan dahulu sebelum beralih ke taktikal.

“Kita tengok penguasaan dan kawalan bola mereka tidak cantik. Menerima dan melakukan hantaran juga bermasalah.

“Kita kena tengok pada sistem kejurulatihan, bagaimana cara mereka mengajar di peringkat bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemerosotan kualiti individu pemain generasi masa kini berbanding era kegemilangan bola sepak negara pada satu ketika dahulu.

“Saya menggesa perancangan semula dilakukan bermula dari hierarki tertinggi pengurusan bola sepak negara hinggalah ke jurulatih di peringkat sekolah dan kelab.

“Budaya mencari salah perlu dihentikan segera sebaliknya tumpuan penuh perlu diberikan kepada pencarian solusi secara kolektif,” katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh diselesaikan oleh individu tetapi bermula dari pengurusan atasan sampai ke peringkat bawah.

“Mungkin jurulatih kita di peringkat akar umbi perlu diperbaiki dan diberi lebih pendedahan atau fasiliti latihan yang perlu dinaik taraf.

“Buat keputusan kolektif supaya semua pihak tahu peranan masing-masing,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Wan Jamak menyarankan agar radar pencarian bakat bagi pasukan Bawah 17 (B-17) dan Bawah 19 (B-19) tahun terus diperluaskan hingga ke pelusuk negara tanpa hanya bergantung kepada kelompok pemain yang telah sedia ada di dalam sistem.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN