WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan untuk meminta Israel menyerahkan sebahagian hasil cukai yang ditahannya daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) kepada Lembaga Keamanan bagi membiayai rancangan pasca perang Gaza yang dicadangkan Presiden Donald Trump.
Pentadbiran Trump setakat ini belum membuat keputusan sama ada untuk mengemukakan permintaan rasmi kepada Israel, kata tiga sumber iaitu pegawai yang mengetahui perbincangan dalaman AS dengan Israel.
Dua lagi sumber melibatkan rakyat Palestin yang mengetahui perbincangan itu mendakwa, di bawah cadangan tersebut, sebahagian daripada hasil cukai akan disalurkan kepada kerajaan peralihan yang disokong AS di Gaza, manakala sebahagian lagi akan diberikan kepada PA jika ia melaksanakan pembaharuan.
PA menganggarkan jumlah hasil cukai yang ditahan itu mencecah AS$5 bilion (RM19.7 bilion).
Israel mengutip cukai ke atas barangan import bagi pihak PA dan sepatutnya memindahkan hasil tersebut di bawah satu perjanjian yang sudah lama wujud. PA menggunakan dana itu untuk membayar kakitangan kerajaan serta membiayai perkhidmatan awam.
Rancangan menggunakan wang cukai tersebut untuk pelan pembinaan semula Gaza tanpa penglibatan kerajaan Palestin, dilihat boleh semakin meminggirkan PA, apatah lagi ketika tindakan Israel menahan dana tersebut turut mencetuskan krisis kewangan di Tebing Barat yang diduduki.
PA mempunyai kuasa autonomi terhad di Tebing Barat, namun tiada pengaruh ke atas Gaza sejak ia dibuang negeri dari wilayah itu selepas konflik singkat dengan kumpulan Hamas pada 2007.
Lembaga Keamanan enggan mengulas berhubung dakwaan cadangan menggunakan wang cukai Palestin sedang dipertimbangkan.
Seorang pegawai lembaga itu berkata, pihaknya meminta semua pihak menggunakan sumber yang ada untuk menyokong pelan pembinaan semula, yang dianggarkan menelan kos sekitar AS$70 bilion (RM276 bilion).
“Ini termasuk Pihak Berkuasa Palestin dan Israel. Wang yang disimpan dalam bank tidak membantu melaksanakan Pelan 20 Perkara Presiden,” kata pegawai itu.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada hasil cukai PA yang ditahan Israel dalam pertikaian berpanjangan mengenai bayaran kepada rakyat Palestin yang dipenjarakan di penjara Israel.- AGENSI










