Sidang Parlimen: Speaker nafi buat kesimpulan - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen: Speaker nafi buat kesimpulan

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan beliau menyatakan sebarang pendirian mahupun kesimpulan berhubung isu tarikh sidang Parlimen.

Katanya, beliau sekadar merujuk kepada perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kewajaran mengadakan sidang Parlimen sama ada pada September atau Oktober ini.

Justeru, katanya, sebarang laporan berita yang mengatakan bahawa beliau menganggap keputusan Perdana Menteri dalam menetapkan tarikh sidang Parlimen adalah ‘rasional’ telah disalah petik dan disalah tafsir.

“Saya hanya menyatakan bahawa Perdana Menteri telah membuat komitmen untuk membuka Parlimen pada September atau Oktober 2021 dan beliau telah menyatakan rasionalnya keputusan itu dalam perutusan khasnya.

“Sehubungan itu, saya tidak pernah membuat sebarang kesimpulan bahawa keputusan Perdana Menteri itu sebagai ‘rasional’ atau ‘boleh diterima atau tidak terlalu lewat’. Sebarang kenyataan itu dalam mana-mana laporan berita adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada masa sama, Azhar menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat kenyataan berhubung kenyataan oleh Istana Negara dan kenyataan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Saya menggesa semua pihak untuk memperbetulkan kesilapan ini segera bagi mengelakkan daripada menyebarkan maklumat yang mengelirukan kepada khalayak ramai.

“Sebagai speaker Dewan Rakyat, tugas saya dan komitmen terhadap demokrasi berparlimen kekal utuh. Saya telah beberapa kali memaklumkan bahawa Parlimen sudah bersedia untuk bersidang dalam segala aspek serta konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan dan peraturan-peraturan majlis mesyuarat,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang menggambarkan bahawa Azhar menganggap komitmen Perdana Menteri terhadap usaha untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober ini sebagai satu keputusan yang rasional.’ –  UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN