DUNGUN: Polis menahan dua sahabat yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan dan pecah kedai perkakasan dalam serbuan berasingan di daerah ini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, suspek pertama yang berusia 37 tahun itu ditahan di Kampung Teluk Lipat pada Khamis lalu disusuli rakannya yang berusia 26 tahun, dua hari kemudian.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas tiga Proton Waja yang disyaki dicuri dan digunakan dalam kegiatan pecah masuk kedai tersebut.
“Kita turut menjumpai alatan pertukangan dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM70,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, di sini hari ini.
Baharudin berkata, polis menerima dua laporan kes pecah masuk kedai perkakasan pada Mei lalu sekali gus tidak menolak kemungkinan barangan yang dicuri itu kemudian dijual dengan harga lebih murah di pasaran tempatan.
Menurutnya, kedua-dua suspek dikesan positif metamfetamin dan mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah.
“Mereka direman sehingga 20 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










