BUTTERWORTH: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan berarak mengiringi keranda mayat di Jalan Tiram, di sini, baru-baru.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menyiasat kes itu hari ini selepas menerima laporan berhubung satu video yang tular dalam media sosial.
Menurutnya, video berdurasi kira-kira seminit yang disebarkan menerusi aplikasi TikTok dan Facebook itu memaparkan sekumpulan individu sedang berarak dan sebahagiannya dilihat menari, bermain gendang dan membawa sepanduk ketika mengiringi mayat yang diusung di atas keranda.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku 17 Jun lalu dan video tersebut baru tular dalam media sosial hari ini.
“Polis mendapat butiran berhubung si mati dan kami sedang mengesan kumpulan individu sekitar 15 hingga 20 orang lelaki yang berarak tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati mayat berkenaan dibawa dari Teluk Air Tawar ke tempat pembakaran di Jalan Tiram dengan menaiki kenderaan mayat namun kumpulan itu bertindak berarak sejauh kira-kira 50 meter daripada tempat pembakaran tersebut.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – UTUSAN ONLINE










