PETALING JAYA: Peningkatan jumlah sampah yang dikutip di kawasan perumahan bukan satu perkara mengejutkan terutama apabila negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membuatkan orang ramai duduk rumah.
PKP 3.0 fasa satu juga tidak mengganggu jadual kutipan sampah di Selangor yang diuruskan Syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM).
Dalam satu temu bual bersama Utusan Malaysia, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd. Tahir berkata, sebagai negeri yang paling padat, Selangor menghasilkan sampah paling banyak berbanding negeri lain.

“Semenjak PKP, terdapat peningkatan penghasilan sampah di kawasan perumahan dan ini tentu sekali disebabkan orang ramai yang diarahkan untuk duduk rumah dalam tempoh ini. Di kawasan kedai-kedai atau perindustrian, penghasilan sampah menurun.
“Kita ada jadual tertentu yang telah setuju dengan pihak berkuasa tempatan dan kita bertugas seperti biasa iaitu di kawasan perumahan kutipan sampah adalah tiga kali seminggu, di kawasan perindustrian dan di perumahan strata ataupun pangsa pula dilakukan setiap hari serta kutipan sampah pukal seminggu sekali,” katanya menerusi aplikasi Zoom.
Sejak PKP 1.0, syarikat pengurusan sampah ini telahpun dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dan setiap hari KDEB terus menjalankan tugas dengan konsisten.
“Jadi sudah lebih setahun, kita bertugas setiap hari dan terus konsisten untuk membuat kutipan sampah domestik di seluruh Selangor, membuat kerja-kerja pembersihan awam dan mengambil sampah pukal.
“Oleh kerana kepadatannya, Selangor menghasilkan sampah yang paling banyak sekali berbanding negeri lain dalam Malaysia, sejak PKP tahun lalu, pengurusan sampah termasuk dalam perkhidmatan perlu,” katanya.
Bagaimanapun, KDEB mengakui berdepan dengan kekangan untuk mengutip sampah di kawasan perumahan strata berikutan kesesakan kereta yang diletakkan di luar kawasan sepatutnya.
“Ini bukanlah salah sesiapa namun di beberapa kawasan yang penduduknya padat dan kekurangan tempat parkir, hal itu menyebabkan lori roro KDEB sukar untuk masuk.
“Apabila ramai orang duduk rumah maka sudah tentu kereta juga akan berada di kawasan tersebut namun saya harap elakkan untuk letak kereta di hadapan tempat pembuangan sampah,” katanya. – UTUSAN










