Lori bawa pekerja positif Covid-19, pakai gelang pink ditahan - Utusan Malaysia

Lori bawa pekerja positif Covid-19, pakai gelang pink ditahan

POLIS  menahan sebuah lori yang membawa 48 pekerja asing positif Covid-19 dan memakai gelang merah jambu di Sungai Lalang, Bedong, Sungai Petani, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebuah lori kilang memproses ayam yang membawa 48 pekerjanya yang positif Covid-19 dan memakai gelang merah jambu ditahan di Sungai Lalang, Bedong di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kumpulan lelaki warga negara asing itu ditahan bersama pemandu lori berkenaan selepas tular video berdurasi 19 minit di media sosial pada pukul 5 petang.

Menurutnya, pihaknya mengarahkan beberapa kereta peronda melakukan pemerhatian di daerah ini selepas menerima maklumat mengenai video yang tular itu.

“Hasil pemerhatian mendapati sebuah lori yang membawa 48 pekerja kilang memproses ayam tersebut dikesan berdekatan Sungai Lalang, Bedong.

“Pihak polis menahan lori berkenaan dan mendapati kesemua lelaki yang berada di dalam lori itu memakai gelang merah jambu kerana positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Adli, siasatan lanjut kemudiannya mendapati 48 lelaki terbabit merupakan antara 135 orang pekerja kilang proses ayam di Sungai Lalang, Bedong di sini yang disahkan positif Covid-19.

“Lori tersebut dalam perjalanan membawa pulang 48 pekerja terbabit ke asrama selepas membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda di sini.

“Bagaimanapun, sebelum itu seramai 87 rakan mereka telah dibawa pulang dari PKD Kuala Muda.

“Kesemua pekerja berkenaan diarah menjalani pemeriksaan di PKD Kuala Muda selepas terdapat kes positif di kilang itu, hari ini,” katanya.

Menurut Adzli, pemandu lori berkenaan disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan Lesen Kenderaan Memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Tambahnya, pihak pengurusan kilang terbabit pula akan disiasat di bawah Seksyen 22(a) Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit yang berbahaya pada nyawa. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.