JOHOR BAHRU: Cita-cita peribadi seseorang individu dan bukan demi negara, parti, orang Melayu dan Islam adalah masalah dalaman UMNO yang akan ‘menewaskan’ parti itu jika tidak diatasi dengan segera.
Tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pemimpin dalam parti itu mesti ‘mengendurkan’ aspirasi peribadi mereka dan mengutamakan aspirasi parti serta negara.
Menurutnya, kadangkala berlaku terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat keliru pendirian mana yang UMNO sedang perjuangkan.
“Jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO harus teguh dengan keputusan parti. Ini bermaksud hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan UMNO.
“Segala yang di luar institusi ini bukan mewakili kepentingan parti malah adalah elemen bercanggah kepada parti,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Jelas Mohamed Khaled, sama ada ahli bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, perkara itu tidak perlu didedahkan dan harus biar disimpan, namun disiplin parti mesti dikekalkan.
“Mereka yang terpilih daripada keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada mereka ‘tempat’ untuk disandarkan keyakinan.
“Tanpa disiplin, parti jadi bahan persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan.
“Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan UMNO. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air,” ujarnya.
Namun, katanya, itu tidak bermakna harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti kerana UMNO sentiasa bersedia menonjolkan yang terbaik pada saat dan ketikanya tetapi mesti mengikut resmi dan tradisi UMNO.
Beliau berkata, bagi mewujudkan kerajaan yang stabil di Malaysia, UMNO mesti menjadi sebahagian daripadanya tetapi kini parti itu berhadapan dengan masalahnya tersendiri.
“Pelbagai kabilah dalam UMNO dengan cita-cita masing-masing. Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana peranan UMNO menjadi pendesak dan pengaturcara manakala Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan kerana UMNO memberikan talian hayatnya,” katanya.
“Peranan UMNO iaitu menjadi kunci agar sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan. Semoga Allah membuka seluas-luasnya pintu persaudaraan dalam kalangan kita dan semoga Allah melembutkan hati sang ‘panglima’ dalam UMNO untuk bertaut kembali,” katanya. – UTUSAN ONLINE