Kerajaan Pusat diharap bantu Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kerajaan Pusat diharap bantu Pulau Pinang

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat diharap dapat membantu Pulau Pinang mencapai sasaran 20,000 individu diberi suntikan vaksin Covid-19 setiap hari dengan memastikan penyaluran bekalan vaksin berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri telah bersiap sedia bagi mencapai sasaran berkenaan dengan menambah kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV).

“Kita semua khuatir dan bimbang dengan wabak ini, kita berharap Kerajaan Pusat dapat beri kerjasama dengan percepatkan proses penyaluran vaksin untuk rakyat negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Menurut Jagdeep, walaupun Pulau Pinang mencatatkan kes positif Covid-19 sebanyak dua angka semalam iaitu 99 kes, namun ia tidak bermakna peperangan rakyat untuk menentang wabak itu telah selesai.

Dalam pada itu Jagdeep berkata, Pulau Pinang memerlukan lebih 400,000 lagi individu untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi mencapai imunisasi kelompok di negeri ini.

“Setakat ini kira-kira 900,860 rakyat telah mendaftar sebagai penerima vaksin tetapi jumlah itu masih belum mencukupi kerana kita perlukan kira-kira 1.34 juta orang diberi vaksin Covid-19 untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti kelompok individu yang layak untuk mengikuti program saringan komuniti secara bersasar di negeri ini yang dijangka bermula dalam tempoh terdekat.

“Penetapan kriteria individu yang layak disaring dikenal pasti antaranya golongan berisiko seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan, wanita hamil dan kanak-kanak.

“Selain itu, golongan yang bertugas di sektor pengangkutan seperti pemandu e-hailing, teksi, bas, peniaga, penjaja serta mereka yang berada di kawasan ‘titik panas’ juga layak mengikuti program ini,” katanya.

Tambahnya, kriteria penentuan lokasi program saringan juga akan mempertimbangkan pelbagai perkara seperti penilaian kawasan berisiko dan kawasan kluster sasaran.

“Selain itu, pemilihan lokasi juga akan dirujuk kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) terlebih dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN