Kekosongan jawatan NC beri kesan kepada universiti - Utusan Malaysia

Kekosongan jawatan NC beri kesan kepada universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekosongan jawatan Naib Canselor (NC) lima universiti awam (UA) merupakan satu isu kritikal memandangkan ia melibatkan soal tadbir urus sekali gus memberi kesan secara langsung kepada operasi dan pencapaian institusi terlibat.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (Pendapat), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, Naib Canselor adalah jawatan tertinggi dan sangat penting dalam sebuah institusi pendidikan tinggi khususnya universiti kerana mereka bertanggungjawab dalam soal hal ehwal universiti.

Katanya, mengikut undang-undang sedia ada seseorang Naib Canselor hendaklah dilantik oleh menteri di atas nasihat jawatankuasa yang dilantik dan selepas berunding dengan lembaga universiti dan ia dilihat telus untuk meningkatkan kecemerlangan UA.

“Namun terdapat persepsi bahawa walaupun garis panduan yang jelas, proses pelaksanaan masih kompleks dan belum mantap dan menyebabkan isu kelewatan pelantikan sekali gus wujud kecenderungan sifat sampingan calon iaitu mereka kenali, disenangi dan popular tetapi tidak mempunyai kewibawaan dipilih berbanding mempunyai kelayakan jitu.

“Justeru Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat kembali amalan pelantikan Naib Canselor dengan merujuk amalan terbaik di negara luar. Mengikut amalan kebiasaan di universiti di luar negara, pelantikan Naib Canselor dan jawatan lain di universiti dibuat lembaga universiti.

“Pada amalan biasa, proses akan bermula dengan mewujudkan jawatankuasa carian untuk mengenal pasti calon, sebelum pihak lembaga membuat pelantikan. Malah pengumuman Naib Canselor baharu dilakukan lebih awal agar proses peralihan berlaku dengan lebih lancar dan tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi segera melantik Naib Canselor di lima universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.

Kekosongan jawatan itu membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam ada itu, Norzaini menambah, pihaknya mencadangkan agar pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi agar lebih proaktif dan memulakan proses pencarian berdasarkan masa ditetapkan iaitu sembilan bulan sebelum tempoh pelantikan Naib Canselor tamat manakala enam bulan sebelum bagi Timbalan Naib Canselor (TNC).

“Dalam keadaan di mana pemimpin seperti NC dan TNC terpaksa berundur atau tempoh lantikan dipendekkan, pihak kementerian boleh menggunakan senarai pendek lama yang telah ditemu duga dan memohon beberapa senarai baru jika perlu dan menguruskan lantikan dalam keadaan segera tanpa menjejaskan integriti proses pemilihan.

“Adalah diharapkan isu kekosongan dan pelantikan Naib Canselor ini dapat diselesaikan dengan kadar segera dengan melihat kepentingan peranan mereka dalam merencanakan dan merancang pembangunan universiti terutama dalam keadaan getir dan dalam era penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya