PETALING JAYA: Sebarang langkah untuk membuat pelarasan subsidi petrol RON95 menjadi pilihan terakhir kerajaan, susulan kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah.
Penasihat Kanan Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, ketika ini kerajaan mempunyai beberapa pilihan dasar, namun bertindak secara berhati-hati memandangkan sensitiviti harga bahan api dan tekanan kos sara hidup yang lebih luas.
“Kira-kira 90 peratus pengguna bahan api di Malaysia tidak terkesan dengan kuota 200 liter RON95 itu,” katanya dalam audio siar yang dikendalikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau mengulas isu kekurangan bekalan bahan api berikutan ketidaktentuan global akibat konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz.
Nurhisham berkata, sebelum ini kerajaan sudah mengurangkan kuota bahan api bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, yang menurutnya hanya menjejaskan kira-kira 10 peratus pengguna.
berkata, antara pilihan dasar yang ada termasuklah menaikkan harga petrol bersubsidi daripada RM1.99 seliter kepada RM2.05 atau RM2.10.
Katanya, pengurangan lagi kuota bulanan adalah pilihan terakhir yang akan dipertimbang kerajaan.
Ujarnya, sebarang rasionalisasi membabitkan subsidi petrol berkemungkinan ditangguhkan selama mungkin.
“Petrol adalah isu yang sangat sensitif dan memberi kesan langsung kepada poket rakyat. Walaupun ada pelarasan subsidi petrol, ia akan ditolak ke kemudian hari,” katanya.
Nurhisham berkata, penganalisis menjangkakan Julai dan Ogos menjadi tempoh sangat tidak selesa untuk pasaran minyak berikutan peningkatan semula permintaan dan kekurangan bekalan fizikal yang masih berlarutan.
Katanya, tiada jaminan harga bahan api akan kekal stabil antara Julai hingga September.
“Pada ketika ini, pasaran terlalu optimistik,” katanya.
Ujarnya, beberapa langkah sedia ada belum berjaya mengurangkan penggunaan bahan api secara keseluruhan, walaupun kuota dikurangkan dan rasionalisasi subsidi dilaksanakan.
“Ini juga menunjukkan rakyat Malaysia perlu mengelakkan pembaziran bukan saja dalam penggunaan bahan api, tetapi juga air dan makanan.
Bukan sekadar tenaga tetapi makanan dan air juga isu penting,” katanya.
Beliau berkata, walaupun harga bahan api sedikit reda, prospek pasaran minyak global masih tidak menentu terutama pada suku ketiga tahun ini.
Katanya, ketika ini China mengurangkan import minyak buat sementara waktu manakala negara pengeluar utama meningkatkan pengeluaran, sekali gus membantu menstabilkan pasaran buat sementara.
“Namun sampai satu tahap, anda tidak boleh bergantung kepada simpanan selama-lamanya. China akan mula mengimport semula dan negara lain juga perlu membina semula simpanan strategik mereka,” katanya. – UTUSAN










