NARATHIWAT (THAILAND): Polis Wilayah Narathiwat membongkar taktik licik sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang menggunakan unit pemprosesan pusat (CPU) komputer sebagai tempat menyembunyikan pil kuda sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.
Jurucakap polis berkata, kejayaan itu adalah hasil rampasan 100,000 pil kuda seberat 10 kilogram (kg) melalui pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di bandar ini, kelmarin.
Katanya, rampasan itu hasil maklumat yang diterima berkait penyeludupan dadah dari Wilayah Lamphun di utara Thailand, menggunakan sebuah syarikat kurier di sini.
“Susulan maklumat tersebut, tiga agensi penguat kuasa melakukan pemeriksaan di gudang syarikat berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua kotak mengandungi CPU komputer. Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan 10 bungkusan pil kuda seberat satu kilogram setiap satu yang disembunyikan di dalam CPU tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jurucakap itu berkata, tindakan menyembunyikan pil kuda di di dalam CPU berkenaan adalah taktik terbaharu sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang dikesan di wilayah ini setakat ini.
Katanya, selain untuk diedarkan di pasaran tempatan, sebahagian besar pil kuda itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran.
“Pihak berkuasa kini sedang memperluaskan siasatan bagi mengesan penerima CPU komputer itu untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










