JOHOR BAHRU: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bersetuju memberi penangguhan bayaran pelbagai perkhidmatan disediakan mereka untuk tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengerusi Kejora, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, penangguhan itu melibatkan bayaran sewa, pinjaman dan pembelian rumah serta premis miliknya.
Menurut beliau, insentif tersebut dibuat bagi meringankan beban pembayar selepas mengambil kira keadaan ekonomi yang sukar ketika ini akibat pandemik Covid-19.
“Ini melibatkan penangguhan bayaran sewa rumah kampung tersusun melibatkan seramai 94 penyewa dengan implikasi kewangan berjumlah RM46,078.
“Begitu juga penangguhan bayaran balik pinjaman bagi 37 unit Rumah Pangsa Bandar Tenggara di Kota Tinggi dengan implikasi kewangan RM22,200,” katanya di sini semalam.
Tambah Che Zakaria, insentif berkenaan turut melibatkan pengecualian bayaran sewaan premis tiga unit bangunan komersial dan tapak perniagaan Kejora dengan kos RM4,200.
“Selain itu, penangguhan turut melibatkan pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan Kejora melibatkan seramai 285 peniaga dan usahawan melibatkan RM248,298.
“Penangguhan dan penjadualan semula bayaran sewaan premis pelancongan juga dibuat melibatkan empat operator premis pelancongan dengan implikasi kewangan RM326,778,” jelasnya.
Katanya, dianggarkan seramai 423 peniaga dan peminjam juga akan menerima manfaat yang melibatkan jumlah keseluruhan berjumlah RM647,554.










