GEORGE TOWN : Pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diingatkan supaya sentiasa peka terhadap sebarang aduan gangguan salah laku termasuk kesalahan seksual melibatkan murid dan tidak menunggu sehingga sesuatu kes itu menjadi tular di media sosial sebelum bertindak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap laporan diterima perlu ditangani mengikut prosedur ditetapkan dan dirujuk segera kepada pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid serta pelajar terpelihara.
Katanya, tindakan pantas amat penting terutamanya apabila melibatkan dakwaan gangguan seksual terhadap murid dan pelajar yang memerlukan perlindungan segera daripada pelbagai agensi berkaitan.
”Saya minta semua PPD khususnya peka dengan kes-kes ini. Jangan tunggu sehingga viral. Ambil tindakan sewajarnya mengikut proses kerja serta ambil sikap untuk terus melaporkan kepada pihak autoriti,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di sini, hari ini.
Beliau mengulas satu kes gangguan seksual yang tular membabitkan seorang guru dan murid di Lawas, Sarawak yang dilaporkan telah dirujuk kepada pihak PPD untuk tindakan lanjut.
Mengenai dakwaan yang tindakan hanya diambil selepas kes tersebut menjadi tular, Fadhlina berkata, tanggapan sedemikian tidak semestinya tepat kerana siasatan biasanya bermula sebaik sahaja laporan diterima.
Katanya, ibu bapa, guru dan mana-mana pihak yang menerima aduan atau mempunyai maklumat mengenai gangguan seksual terhadap kanak-kanak perlu segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
”Apabila ada anak yang mengadu diganggu secara seksual, ibu bapa mesti ambil tindakan, guru mesti ambil tindakan dan ia mesti dilakukan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Fadhlina berkata, setiap kes perlu disiasat secara menyeluruh termasuk memastikan mangsa menerima perlindungan sewajarnya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjalani pemeriksaan kesihatan jika diperlukan.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya menjadikan media sosial sebagai saluran utama untuk mendapatkan tindakan kerana laporan rasmi kepada pihak berkuasa lebih berkesan dalam memastikan siasatan dan tindakan dapat dilaksanakan.
”Jangan gunakan media sosial untuk melaporkan kerana ia tidak membawa ke mana-mana. Tetapi, melaporkan kepada pihak berkuasa itu adalah satu tindakan. Yang kita nak sekarang adalah tindakan,” katanya.-UTUSAN










