471 PATI, 31 majikan ditahan dalam 179 operasi imigresen

471 PATI, 31 majikan ditahan dalam 179 operasi imigresen

OPERASI penguatkuasaan JIM di seluruh negara membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 471 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 31 majikan ditahan dalam 179 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sepanjang tempoh lima hari berakhir semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi itu, seramai 1,494 individu melibatkan warga tempatan dan warga asing diperiksa di pelbagai lokasi tumpuan.

Katanya, daripada jumlah yang diperiksa, 471 PATI ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.

“Seramai 31 majikan turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menggaji atau melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, empat negeri merekodkan jumlah operasi tertinggi dengan Johor 52 operasi, Perak (36), Kedah (25) dan Putrajaya (22).

Pelaksanaan operasi menyeluruh membuktikan komitmen dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang imigresen dilaksanakan konsisten tanpa kompromi, dengan fokus utama memastikan warga asing mematuhi syarat pas diberikan kerajaan.

“Setiap pas dikeluarkan mempunyai tujuan dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh pemegangnya. Sebarang penyalahgunaan pas, termasuk menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan atau terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Kegagalan mematuhi syarat pas bukan sahaja boleh menyebabkan pas dibatalkan, malah boleh membawa kepada tindakan penahanan, pendakwaan dan pengusiran dari negara ini.

Zakaria berkata, penguatkuasaan berterusan dilakukan bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara dan kepentingan rakyat Malaysia terus diutamakan.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran atau aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN