Kanak-kanak terperangkap dalam kereta - Utusan Malaysia

Kanak-kanak terperangkap dalam kereta

ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam kereta ibunya di Taman Berkat, Kayu Ara Pasong, di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mengalami detik cemas apabila terperangkap dalam kereta milik ibunya selama 24 minit sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat di sini pagi ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Alsagoff Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari keluarga mangsa pada pukul 7.35 pagi.

Katanya, Pasukan Keluar Operasi (PKO) bersama enam anggota diketuai Ketua Operasi PBK II Fairuz Abd. Latiff dihantar ke lokasi kejadian di Lorong Berkat, Kayu Ara Pasong sebaik sahaja menerima laporan.

“Setibanya PKO di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak berusia dua tahun berada dalam kereta jenis Honda berwarna putih yang terkunci di hadapan rumah.

“Anggota membuka kereta dengan menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan kanak-kanak itu dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Azhar, kanak-kanak tersebut masuk ke dalam kereta bersama ibunya, tetapi ibunya keluar semula untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam rumah.

“Sewaktu keluar untuk mengambil barang tersebut, tiba-tiba kereta terbabit terkunci dari dalam, menyebabkan anaknya terperangkap dalam kenderaan sebelum terus mengubungi pihak bomba,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya ibu bapa mengawasi anak-anak mereka terutama yang masih kecil ketika keluar dari rumah.

“Malah, pastikan juga kenderaan sentiasa dikunci ketika diparkir bagi mengelak kanak-kanak masuk ke dalamnya dan ini boleh mengundang masalah jika tanpa disedari oleh ibu bapa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN