Jiwa, bakat Ruhainies - Utusan Malaysia

Jiwa, bakat Ruhainies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali melihat poster drama bersiri, Cukup Derita Itu, ramai yang meragui kemampuan pelakon utamanya, Ruhainies. Ada yang tertanya-tanya, mampukah dia membawa watak Ellani yang disifatkan cukup berat itu? Apatah lagi drama adaptasi novel laku keras itu amat dinanti-nanti peminatnya.

Tidak mahu terkurung dek persepsi negatif segelintir warganet, Ruhainies membuktikan dia bukan sekadar pelakon bulu mata. Niat bergelar pelakon bukan hanya untuk ke karpet merah namun dia mahu merenjis warna-warna kejayaan atas kanvas seninya. Maka, dia sahut cabaran untuk membawakan watak tersebut.

Dipukul, dipijak sehingga lebam-lebam bukan satu lakonan. Dia menadah muka, berbaring di atas atas semata-mata untuk menghidupkan watak Ellani yang didera oleh mak ciknya sendiri. Itu adalah pengorbanan Ruhainies untuk membuktikan bakat lakonannya sendiri. Memberi kepuasan bukan untuk peminat semata.

“Saya bukan jenis baca novel pun, tapi bila dapat tahu Cukup Derita Itu adalah antara yang paling laris, takut juga. Tetapi saya fikir, bila lagi orang nak tawarkan watak begini. Selalu dapat watak anak orang kaya, cantik-cantik. Kali ini, secalit bedak pun tidak ada tau. Memang tadah muka kena pukul sahaja.

“Baca skrip pun memang banyak babak dipukul, didera. Tapi ini adalah pengorbanan saya fikir. Tak mahu lagi dah orang cop saya pelakon ala kadar. Saya nak buktikan bakat lakonan. Selain peminat, saya pun kena buktikan kepada diri sendiri. Jadi saya terima cabaran ini dengan hati yang ikhlas,” katanya.

Gementar untuk masuk ke set, Ruhainies masih ingat perasaan dia untuk berganding dengan pelakon hebat, Jasmin Hamid. Malah dia sendiri bertemu Jasmin dan meminta agar pelakon itu tidak ‘menahan diri’ sekiranya perlu memukul atau menderanya. Beri 100 peratus untuk hasil yang lebih realistik.

Dia juga berkongsi pengalaman pulang ke rumah dengan luka-luka dan lebam di badan. Namun itu semua memberi senyuman kepadanya apabila peminat mula nampak kemampuannya. Pujian dan kata-kata semangat peminat drama tersebut menyegar bunga di hatinya. Itu satu kepuasan yang tidak terlihat di mata.

“Memang saya sendiri bagitahu kak Jasmin pukul betul-betul. Sebab itu bila balik rumah, badan lebam-lebam. Sampai ayah sendiri yang sapu ubat dan layan sakit saya. Memang berbaloi. Lebih-lebih lagi bila peminat suka dan layan drama itu kerana lakonan saya. Puas sangat!

“Bayangkan mula-mula nak masuk set, saya tak boleh tidur. Pukul 4 pagi masih mengelamun, pukul 8 pagi kena masuk set dah. Takut pun ada. Saya kena sedia fizikal dan mental untuk watak Ellani ini. Tak boleh buat main-main. Ini amanah dan tanggungjawab.

“Memang pengarah pun ada bagitahu, watak ini risiko dan berbahaya. Mungkin orang nampak ala kena pukul sikit je tetapi emosi dan sakit itu tak buat main ya. Kena pukul betul-betul, kalau tidak nampak plastik. Saya tak mahu itu,” kata adik kepada pelakon, Risteena ini.

Selekeh? Lantak situ

Bukan hanya lakonan, tetapi penampilan Ruhainie tanpa sebarang tatarias dalam drama tersebut juga mendapat pujian ramai. Dia tidak kisah kelihatan selekeh dan buruk untuk watak Ellani itu. Baginya, takkan setiap watak kena bergincu, berbedak.

“Saya bukan nak tunjuk kecantikan pun, tetapi penderitaan watak itu. Takkan kena pukul muka lebam-lebam tapi bulu mata dua, tiga tingkat? Nak pakai bulu mata, pakai baju cantik-cantik semasa di karpet merah. Kena ikut watak dan karakter juga.

“Kehidupan saya di luar dan dalam drama itu memang berbeza. Tetapi itu adalah kepuasan seorang pelakon. Kita dapat merasai sendiri kesakita mereka yang teraniaya. Cukup Derita Itu mungkin berlaku di luar sana. Kita mungkin tak ambil tahu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya