JOHOR BAHRU: Pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dijangka beroperasi mulai 17 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, hospital berkenaan dilengkapkan dengan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 60 katil wad secara berperingkat akan ditempatkan di perkarangan hadapan bangunan induk HSA.
Katanya, pihak ATM telah bersetuju membantu menyediakan fasiliti tambahan untuk perawatan pesakit Covid-19 di HSA dengan kerja pemasangan aset itu bermula hari ini dan esok.
“Di samping petugas HSA, pihak ATM akan menggerakkan tiga pegawai dan 30 staf teknikal (paramedik) bagi membantu operasi dan memberi perawatan pesakit Covid-19 di hospital medan ini.
“Tempoh operasi hospital medan ini bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 negeri ini terutama daerah Johor Bahru dan daerah berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Vidyananthan berkata, selain kerjasama ATM dan Kementerian Kesihatan, pengoperasian hospital medan ini adalah hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Tambahnya, berdasarkan statistik kelmarin, seramai 1,247 orang pesakit Covid-19 dirawat di hospital kerajaan termasuk 105 pesakit yang dirawat di ICU termasuk 82 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Manakala, terdapat 24 pesakit Covid-19 di beberapa hospital swasta termasuk dua yang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.
“Pertambahan 30 peratus kemasukan pesakit Covid-19 terutama di hospital kerajaan di daerah ini bermula pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Ia juga menyumbang kepada peningkatan penggunaan katil khusus Covid-19 secara berterusan di wad dan ICU kepada melebihi 95 peratus,” ujarnya. – UTUSAN










