PARIT BUNTAR: Seorang awak-awak masih hilang manakala dua lagi selamat dalam kejadian bot nelayan karam setelah berlanggar dengan sebuah bot pukat tunda, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 4.30 pagi semalam kira-kira 35 batu nautika dari jeti Sungai Udang di sini menyebabkan mangsa, Mohd. Syarif Hashim, 25, masih hilang.
Operasi mencari mangsa masih diteruskan.
Abang kepada mangsa, Mohd. Norhisham Hashim, 35, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama adik itu dan iparnya dalam perjalan pulang ke Jeti Sungai Udang, di sini setelah berada di laut selama empat hari.
Menurutnya, bot mereka berlanggar dengan sebuah bot pukat tunda disebabkan cuaca yang gelap dan bot pukat tunda berkenaan tidak tidak memasang lampu.
Katanya, pelanggaran menyebabkan dia dan iparnya terjatuh ke dalam laut.
“Ketika itu adik saya masih berada di atas bot dan dia mencampakkan jaket keselamatan ke arah kami.
“Namun dia tidak sempat terjun ke laut kerana air memenuhi bot dengan cepat menyebabkannya dia tenggelam manakala ipar pula hanya berpaut pada tin biskut yang terapung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd Norhisham, selepas itu dia tidak lagi melihat adiknya lalu mereka berenang menyelamatkan diri.
“Setelah terapung hampir lebih dua jam, kami diselamatkan oleh sebuat bot nelayan yang hendak ke laut. Mereka membawa kami ke Jeti Nelayan di Pantai Remis,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Noriah Ismail, 59, berkata, dia dan suaminya mendapat tahu mengenai kejadian itu pada pukul 11 pagi semalam.
Katanya, sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kejadian itu, dia bersama suami serta ahli keluarganya yang lain, segera ke sini dari Kelantan menuju ke Pantai Remis.
“Saya harap anak saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, operasi mencari dan dan menyelamat mangsa masih diteruskan.
Katanya, operasi dibantu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kurau dan komuniti nelayan.
“Pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 186.3 batu nautika dari tempat kejadian,” katanya. – UTUSAN ONLINE