PETALING JAYA: Ketiadaan Pearly Tan menyaksikan skuad negara berdepan situasi bahaya menjelang saingan Piala Uber 2026 yang bakal membuka tirai pada 24 April ini.
Pemain beregu utama wanita negara itu disahkan menarik diri susulan kecederaan belakang yang dialaminya, sekali gus merencatkan perancangan awal pasukan.
Pearly menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebooknya mengakui keputusan untuk menarik diri bukan sesuatu yang mudah memandangkan keinginannya untuk terus berjuang bersama pasukan.
“Dengan hati yang berat saya terpaksa menarik diri daripada Piala Uber kali ini kerana kecederaan belakang yang saya alami.
“Saya amat kecewa kerana tidak dapat berdiri bersama rakan sepasukan dan berjuang di gelanggang seperti yang saya mahukan,” kata Pearly dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, ketiadaan Pearly dalam gambar rasmi kontinjen yang dimuat naik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat.
Situasi itu akhirnya terjawab apabila pemain berusia 26 tahun tersebut memaklumkan dia menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MR)I selepas mengalami kesakitan serius di bahagian belakang.
Kecederaan tersebut dipercayai berpunca daripada aksi sengit di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang menyaksikan prestasinya bersama M. Thinaah terjejas hingga tersingkir di peringkat suku akhir.
Ketiadaan Pearly memberi tamparan hebat buat skuad wanita negara yang sebelum ini menjadikan gandingan Pearly-Thinaah sebagai sandaran utama untuk menyumbang mata.
Bagi beregu, harapan kini digalas pasangan Ong Xin Yee-Carmen Ting serta gandingan muda Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, namun kekuatan keseluruhan pasukan dilihat sedikit terjejas. – UTUSAN










