SEJAK perintah kawalan pergerakan penuh dilaksanakan bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 awal bulan ini, kesannya terhadap ekonomi rakyat cukup ketara. Tidak ada sektor yang terlepas. Semua terkena tempias kesan daripada total lockdown ini yang menyebabkan ekonomi langsung tidak bergerak.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020 diikuti beberapa siri PKP selepasnya ada sektor ekonomi yang tinggal nyawa-nyawa ikan. Kini ada yang terus mati kerana tidak mampu lagi menampung bebanan kewangan.
Tidak dinafikan sejak PKP pertama, kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej bantuan dengan nilai ratusan billion ringgit. Namun, ia masih tidak dapat membantu 100 peratus golongan yang terjejas terutama ketika total lockdown kini.
Industri pengangkutan seperti pengusaha bas misalnya, jika tidak ada manusia yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat, maka perniagaan mereka sudah tidak relevan. Memang mereka dibenarkan beroperasi, tetapi siapalah sangat yang mahu naik bas apabila rakyat Malaysia tidak boleh rentas daerah dan rentas negeri?
Begitu juga dengan pemandu teksi. Apabila tidak ada penumpang, teksi mereka sudah tidak berfungsi dan para pemandunya tidak ada pendapatan.
Sektor perhotelan dan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan juga antara yang teruk terjejas. Bandar Besut, Terengganu yang sering menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia untuk ke Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas kini ibarat pekan mati. Jeti yang dulu sibuk dengan kehadiran pelancong asing untuk ke pulau-pulau terbabit kini sekali sekala dilawati kumpulan kambing untuk berteduh panas atau hujan.
Ini adalah masalah yang dihadapi rakyat. Masalah yang mencengkam kehidupan harian mereka sejak Mac tahun lalu. Pertolongan dan bantuan dihulurkan kerajaan memang sudah banyak. Bermacam-macam pakej telah diumumkan, tetapi kesan buruk akibat pandemik ini sukar dikekang.
Mungkin di sini perlunya membenarkan Parlimen bersidang bagi bolehkan apa juga masalah rakyat diangkat, dibentang dan dicari penyelesaian secara komprehensif. Mungkin atas kesedaran ini juga maka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Gunalah platform Parlimen untuk sekurang-kurangnya bagi mendengar rintihan rakyat. UMNO dan pembangkang sudah memberi jaminan tidak akan ada usul undi tidak percaya. Jika Parlimen dibuka, isunya hanya berkaitan rakyat semata-mata. Tahan dahulu nafsu politik masing-masing kerana ketika ini rakyat sedang sengsara. Bersidanglah demi rakyat semata-mata.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia











