Beban tugas anggota CAC bertambah - Utusan Malaysia

Beban tugas anggota CAC bertambah

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) merekodkan jumlah kedatangan pesakit dari 4,000 sehari ke 10,000 sehari iaitu 150 peratus, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga merekodkan kes aktif yang dipantau CAC meningkat dari 5,300 sehari ke 11,000 sehari bersamaan 108 peratus.

Katanya, jumlah kes yang memerlukan rujukan ke hospital bagi tempoh dari 23 Mei hingga Sabtu lalu meningkat dari sembilan kes kepada 35 kes.

“Peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak sejak April lalu menyebabkan beban tugas anggota di CAC bertambah.

“Ia turut menyebabkan kekangan bagi menerima panggilan daripada pesakit serta petugas untuk membuat dan menerima panggilan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, kekangan terbabit menyebabkan terdapatnya panggilan ke CAC tidak berjawab dan ini mewujudkan kegelisahan kepada pesakit yang sedang menjalani pemantauan di rumah (HSO) mengenai status kesihatan semasa.

Katanya, panggilan terbabit dibuat oleh mereka yang mahu melaporkan wujudnya gejala baharu atau kemerosotan gejala dalam aplikasi MySejahtera tetapi masih belum diambil tindakan CAC.

“Bagi menambah baik proses pemantauan CAC, kementerian dalam proses mewujudkan ‘Pusat Panggilan Sehenti’ untuk membantu CAC seperti menerima panggilan daripada pesakit yang bergejala.

“Ia akan menerima panggilan berkaitan pertanyaan umum berkaitan HSO dan menyalurkan panggilan kecemasan ke MERS 999,” katanya.

Tambahnya, buat permulaan, Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menjadi projek permulaan susulan mempunyai beban kes yang tinggi.

Katanya, talian telefon akan ditambah di 33 buah CAC bagi mengurangkan kesesakan talian telefon yang sering berlaku di Lembah Klang.

“Sebanyak 198 CAC di seluruh negara dengan setiap satu mempunyai pasukan yang terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).

“Ia ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk penilaian individu yang disahkan positif sebelum ditentukan sama ada sesuai untuk menjalani isolasi dan pemantauan kendiri di rumah atau memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PRKC) atau hospital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN