KANGAR: Perlis hanya memerlukan sekitar 26 peratus lagi dalam kalangan penduduknya untuk menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan negeri ini memasuki fasa tiga pelan pemulihan negara iaitu membenarkan pergerakan bebas dan melakukan aktiviti ekonomi tanpa sekatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Perlis masih belum mencapai 40 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan 80 peratus penduduknya yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, setakat ini, sekitar 25 peratus penduduk Perlis telah menerima suntikan dos pertama vaksin manakala 14 peratus pula menerima dua dos vaksin.
“Perlis hanya memerlukan sekitar 26 peratus sahaja lagi dalam kalangan penduduknya untuk menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 untuk membolehkan negeri ini memasuki fasa tiga pelan pemulihan negara atau diberikan status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Ayuh kita percepatkan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negeri ini untuk membolehkan imuniti kelompok berjaya dicapai dengan lebih cepat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu di dalam status Facebooknya, Azlan berkongsikan cadangan beliau di dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19 agar Perlis diberikan status PKPP atau fasa tiga mengikut kriteria yang diguna pakai ketika ini.
Dalam mesyuarat tersebut, Azlan mencadangkan supaya pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan selain program sosial seperti kenduri, perhimpunan orang ramai dan lain-lain yang seangkatan dengannya.
Malah cadang Azlan lagi, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) fasa tiga di Perlis terus diperketatkan untuk mengelakkan kontak dan penyebaran virus Covid-19.
“Walaupun ini adalah hasrat netizen yang disuarakan melalui media sosial, malangnya setelah perbincangan yang panjang itu, mesyuarat tidak meluluskan cadangan itu.
“Salah satu sebabnya ialah Perlis belum lagi mencapai 40 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan 80 peratus penduduknya yang telah berdaftar dengan sistem MySejahtera untuk disuntik vaksin,” katanya.
Jumlah kes Covid-19 di Perlis terus menunjukkan penurunan dengan sehingga semalam hanya 27 kes aktif.
Malah kes harian di Perlis sejak seminggu lalu juga terus menurun sekitar tiga atau empat kes selain berselang-seli dengan sifar kes.