BOGOTA: Seorang senator dan calon Presiden Colombia bagi pilihan raya tahun hadapan, Miguel Uribe parah ditembak tiga kali termasuk dua di kepala dalam satu acara kempen di ibu negara Bogota, menurut kenyataan rasmi kerajaan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Uribe, 39, yang juga senator pembangkang sedang berucap di hadapan penyokong sebelum bunyi tembakan kedengaran secara tiba-tiba.
Dalam rakaman lain, beliau kelihatan tersandar di atas bonet sebuah kereta berwarna putih, berlumuran darah sementara beberapa lelaki cuba membantunya.
Kerajaan pimpinan Presiden berhaluan kiri, Gustavo Petro mengecam serangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai serangan terhadap demokrasi, kebebasan berfikir dan amalan politik yang sah di Colombia.
“Kerajaan mengutuk keras serangan terhadap Uribe dalam acara kempen yang berlangsung di barat Bogota,” menurut kenyataan pejabat Presiden.
Uribe yang merupakan pengkritik lantang Petro adalah ahli parti Pusat Demokratik yang diasaskan oleh bekas presiden berpengaruh, Alvaro Uribe yang mentadbir negara itu dari 2002 hingga 2010.
Pada Oktober lalu, Uribe mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2026.
Datuk Bandar Bogota, Carlos Galan dalam satu hantaran di platform X memaklumkan Uribe berada dalam keadaan kritikal dan suspek penembak berusia 15 tahun sudah ditahan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez berkata, pihak berkuasa menawarkan ganjaran sekitar AS$700,000 (RM3.3 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan dalang utama serangan itu.
Beliau turut memaklumkan pimpinan tentera dan polis sedang mengadakan mesyuarat khas bagi merangka strategi keselamatan susulan insiden tersebut. – AFP










