BANGKOK: Kementerian Luar Thailand menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kematian seorang warganya yang menjadi tebusan di Gaza, selepas mayatnya ditemui oleh pasukan tentera Israel.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan video semalam.
“Kami dengan rasa sedih memaklumkan Kedutaan Diraja Thailand di Tel Aviv dimaklumkan oleh wakil Israel bahawa Nattapong Pinta, tebusan Thailand terakhir, disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurut kenyataan tentera Israel, pasukan mereka menemui mayat Nattapong di kawasan Rafah di selatan Gaza.
Kenyataan itu mendakwa Nattapong diculik hidup-hidup sebagai tebusan dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dan dibunuh semasa dalam tawanan.
Tentera Israel menyalahkan Briged Mujahidin, sebuah kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan rapat dengan sekutu Hamas, iaitu Jihad Islam.
Nikorndej berkata, Nattapong merupakan antara tiga rakyat Thailand yang ditahan sebagai tebusan di Gaza.
Dua lagi disahkan meninggal dunia pada tahun 2024, namun menurut beliau, Israel masih belum dapat mengambil mayat mereka.
Beliau berkata, Kedutaan Thailand di Tel Aviv sudah menghubungi keluarga Nattapong untuk memaklumkan berita tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak Israel untuk membawa pulang jasadnya ke Thailand secepat mungkin.
Nikorndej menambah, kementerian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Nattapong.-AFP










