KUALA TERENGGANU : Bekas jurufoto Utusan Malaysia yang kini berdepan masalah kesihatan akibat gout kronik dan penyakit buah pinggang menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih Hari Wartawan Nasional (Hawana).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sumbangan tersebut disampaikan kepada Mohd Azlan Baharum, 42, yang kini memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya.
Katanya, bantuan itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Tabung Kasih Hawana dalam membantu bekas pengamal media yang berdepan kesulitan hidup khususnya akibat masalah kesihatan.
“Tabung yang dilancarkan pada 2023 ni telah menyalurkan bantuan kepada 901 penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.6 juta sehingga kini. Untuk Terengganu sahaja, seramai 38 orang menerima bantuan menerusi tabung ini pada tahun ini.
“Tabung Kasih Hawana diwujudkan bagi membantu rakan-rakan pengamal media yang memerlukan sokongan terutama mereka yang berdepan masalah kesihatan dan kesusahan hidup,” katanya selepas mengadakan lawatan ziarah dan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih Hawana kepada bekas jurufoto berkenaan di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Telekom Malaysia (TM) yang bertindak sebagai penyumbang menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Nie Ching berkata, Bernama bertindak sebagai urus setia Tabung Kasih Hawana dan pihaknya mengalu-alukan pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan bantuan supaya menghubungi Bernama atau pejabatnya untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TM atas kesudian berganding bahu menjayakan inisiatif berkenaan bagi memastikan lebih ramai bekas pengamal media yang memerlukan dapat dibantu.
Katanya, kerjasama pelbagai pihak sangat penting bagi memastikan Tabung Kasih Hawana terus berperanan sebagai saluran kebajikan untuk menjaga kebajikan bekas pengamal media di negara ini. – UTUSAN











