MIAMI: Seorang lelaki yang pernah menjadi juruterbang utama untuk taikun dadah terkenal Colombia, Pablo Escobar mendedahkan kisah hidupnya buat pertama kali sejak ditahan pihak berkuasa di Florida pada 1988.
Dalam satu episod baharu audio siar dokumentari berjudul Cocaine Air, Tirso ‘TJ’ Dominguez mendedahkan pada awalnya dia menolak tawaran bekerja dengan Escobar kerana ketika itu dia sudah pun memperoleh pendapatan lumayan sebanyak AS$4 juta (RM16.9 juta) sebulan dengan bekerja untuk pesaing Escobar.
Namun, segala-galanya berubah apabila Escobar yang digelar ‘Patrón’ atau ketua, menawarkan gaji lima kali ganda lebih tinggi iaitu sebanyak AS$20 juta (RM84.5 juta) sebulan.
“Saya ada 30 buah Lamborghini dan berpakaian mewah. Mereka akan hantarkan kereta yang padan dengan baju yang saya pilih untuk dipakai hari itu,” kata Dominguez dalam audio siar lapan episod itu yang turut dikongsi kepada akhbar The Guardian.
Temu bual yang dikendalikan oleh hos Johnathan Walton itu memberikan gambaran jujur dan eksklusif mengenai kehidupan mewah hasil kegiatan haram serta bagaimana seseorang boleh tergoda menyertai rangkaian jenayah paling kejam di dunia.
Escobar dikenali bukan hanya sebagai pengedar dadah terbesar dunia tetapi juga dalang di sebalik pembunuhan, penculikan dan pengeboman sebelum dibunuh oleh pasukan khas Colombia pada 1993.
Menurut Dominguez, dia mula terlibat dalam penyeludupan dadah pada penghujung 1970-an selepas bapanya, seorang pemaju hartanah meninggal dunia akibat kanser ketika bangunkan kilang gula.
Pada usia 20 tahun ketika itu, Dominguez terdesak mencari modal bagi meneruskan projek kilang gula tersebut dan mula belajar menerbangkan pesawat kecil.










