Apa nak jadi, pesakit Covid-19 pun dikutuk? - Utusan Malaysia

Apa nak jadi, pesakit Covid-19 pun dikutuk?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“NASIB baiklah korang dapat balik ke rumah. Kalau terus ke kubur? Baru padan muka.”

Itu komen seorang netizen dalam berita yang menceritakan keseronokan pesakit-pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Taman Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), baru-baru ini.

Mengucap panjang saya. Tengok gambar profil, dia menyokong perjuangan Palestin. Agaknya rasa simpatinya dan nilai-nilai kemanusiaan hanya dipilih-pilih.

Yang hairannya, ada juga menyokong komen tersebut dan memberikan emoji ketawa.

Ada juga yang melontar komen, tak nampak macam sakit pun, membazir duit rakyat saja letak mereka di sana.

Yang menghairankan, agaknya berapa ringgit dah duit dia habis diambil kerajaan sebab memberi pesakit Covid-19 makan di Maeps?

Sepatutnya bila orang lain dilanda musibah penyakit, doakanlah agar Tuhan memberikan mereka kesembuhan. Kalau kena pada batang hidung sendiri, orang lain komen sebegitu, seronok tak?

Kenapa hendak lihat pesakit Covid-19 di sana terbaring saja? Tahukah anda pesakit Covid ini ada banyak kategori. Bukan semuanya tenat.

Kategori 1 dan 2 tidak mengalami simptom yang teruk berbanding 3 hingga 5 tetapi mereka tetap perlu dikuarantin kerana boleh menyebarkan dengan cepat virus itu.

Itulah rajinlah membaca tentang penyakit ini, jangan hanya tahu komen seperti tin kosong. Dan jangan suka baca tajuk saja dan buat rumusan sendiri.

Dan kalau tak ada PKRC Maeps, netizen risau dan bising pula mereka merayau. Pakai gelang pink ke hulu ke hilir.

Bila diletakkan di Maeps dengan pengawasan staff Kementerian Kesihatan, dikata pula menghabiskan duit! Harap-harap yang mengata itu, belum jatuh miskin lagilah…

Dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah bersabda: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata baik atau pun diam.

Covid-19 sebenarnya amat dekat dengan kita, mungkin esok atau lusa ia boleh menjangkiti sesiapa saja. Jadi tidak perlulah berlagak angkuh dan memadankan muka orang lain yang terkena pandemik ini.

Macam-macam komen yang tidak masuk akal kita boleh baca berkenaan cerita pasal mereka yang dijangkiti Covid ini, walaupun orang itu berserban atau bertudung labuh.

Yang menghairankan, tahu mengutuk dan tun­juk pandai saja tetapi tidak memberi pendapat-pendapat yang membina dan bernas.

Sudah-sudahlah menjadi netizen otak kosong dan tidak beradab.

Ini bukan pertandingan siapa komen paling entah apa-apa dan tiada hadiah pun untuk itu. Komen anda mencerminkan I.Q anda berada di tahap mana. Itu saja.

PENULIS ialah Pengarang Berita, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN